21 Julai, 2021

Hari Tasyriq

 Assalamualaikum. Haiii...

Sayu rasa Raya Aidil Adha tahun ni sebab kena raya kat rumah, tak boleh pergi mana-mana. Apa pun, raya tetap raya kan. Antara sunnah hari raya ialah kita pakai pakaian yang terbaik. Aku pun pakai la baju raya cantik-cantik walaupun duduk makan kat rumah dengan suami saja.

Ok la, itu saja mukaddimah aku. Kali ni aku nak kongsi cerita tentang hari tasyriq. Aku tak pandai nak tulis sendiri jadi aku kongsikan saja teks yang bapa saudara aku hantar.

Mengikut kalendar Hijrah, hari ini ialah 11 Zulhijjah, bermakna bermulanya Hari-hari Tasyriq untuk musim ini. 11,12 dan 13 Zulhijjah adalah hari-hari tasyriq yang merupakan antara hari-hari kebesaran dalam Islam.

Perkataan TASYRIQ bermaksud menjemur di bawah panas matahari. Pada zaman dahulu, orang yang melakukan korban atau hady di Makkah menjemur daging-daging di bawah panas matahari supaya dapat disimpan lebih lama.

Kelebihan hari-hari tasyriq disebut dalam Al-Quran sebagai 'hari-hari yang tertentu bilangannya'. Ayat 203 Surah Al-Baqarah merakamkan arahan Allah supaya berzikir (ingat) kepada Allah pada hari-hari ini," Dan ingatlah Allah pada hari-hari yang tertentu bilangannya."

Ingat dan zikir kepada Allah terserlah pada hari-hari tasyriq sama ada dalam kalangan para jemaah haji atau orang Islam umumnya. Para jemaah haji menzahirkan zikir mereka ketika menyembelih hady, melontar di jamrah dan tawaf di Kaabah. Manakala orang Islam umumnya menzahirkan zikir kepada Allah ketika meyembelih korban dan bertakbir muqayyad selepas setiap solat. Maka terzahirlah apa yang diucapkan oleh Nabi SAW bahawa ia adalah 'hari-hari zikir'.

Hari-hari tasyriq juga adalah seperti hari perayaan yang dinyatakan dalam hadis sebagai 'hari-hari makan dan minum'. Justeru, syarak melarang umatnya daripada berpuasa pada hari-hari tasyriq kerana ia adalah hari perayaan. Raikan kebesaran hari-hari ini dengan juadah dan jamuan sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Tuhan.

Khas bagi jemaah haji, 11 Zulhijjah dinamakan Hari al-Qarr iaitu hari menetap di Mina. 12 Zulhijjah dinamakan Hari Nafar Awwal iaitu jemaah haji diberi pilihan untuk keluar daripada Mina dan tidak meneruskan bermalam di Mina pada malam seterusnya. Manakala 13 Zulhijjah dinamakan Hari Nafar Thani, iaitu jemaah haji akan bertolak keluar dari Mina untuk menyelesaikan baki amalan-amalan haji. 

Setakat ini saja perkongsian aku kali ni. Kalau suka dengan perkongsian aku dalam blog ni, doakanlah aku ada ilham nak menulis atau kongsi ilmu lagi, ya. 😁