01 November, 2010

Exam's Syndromes

Di pertengahan minggu peperiksaan, saya rasa terpanggil untuk menceritakan tentang pemerhatian terhadap kerenah para pelajar di waktu ini termasuklah saya sendiri. Walaupun tak ada minggu belajar yang khas tapi hal ini tidak menghalang para pelajar UKM untuk mencuri masa bagi mengulangkaji pelajaran. Ada yang membaca sementara menunggu bas, ada yang 'berkampung' di perpustakaan, belajar di bawah tangga dan yang paling seronok, sebelah tangan memegang garpu manakala sebelah tangan lagi memegang nota semasa waktu makan. Perkara ini menjadi biasa pada waktu minggu peperiksaan. Jika diteruskan pada hari-hari kuliah, lagi bagus.

Bukan itu sahaja, ada yang berpuasa dari bercakap. 5 patah ditanya, sepatah saja yang dijawab. Yang pendiam bertambah pendiam, yang si mulut murai pun tumpang sekaki. Apa pun, bagi yang muslim, janganlah kerana minggu peperiksaan, Al-Quran entah ke mana, solat pun tunggang langgang. Peperiksaan SPM ( Sijil Padang Mahsyar) itu lebih penting kerana ianya menentukan kehidupan kita di dunia yang kekal abadi. Peperiksaan akademik pun penting kerana apabila kita diterima masuk ke universiti, hal ini bukan sahaja anugerah atau nikmat yang Allah s.w.t beri tetapi ianya adalah amanah, senjata perjuangan muslim untuk menegakkan syiar Islam dalam setiap bidang yang diceburi. Artikel ini sekadar peringatan untuk diri saya serta kepada sesiapa yang sudi membacanya. Sebelum saya mengakhiri artikel saya kali ini, renungilah kata-kata Aristotle: We are what we repeatedly do. Excellence therefore is not an act but a habit.

Sekian, wasalam.