01 Februari, 2011

Interlok

Alhamdulillah. Setelah 2 minggu, akhirnya saya berjaya menamatkan bacaan novel Interlok. Apabila saya membaca artikel di surat khabar yang mengatakan bahawa novel ini menyentuh sensitiviti kaum, saya tertarik untuk membacanya kerana saya terfikir, jika novel ini seperti yang diperkatakan, mana mungkin ianya boleh diluluskan untuk menjadi salah satu buku teks KOMSAS bagi para pelajar tingkatan 5 bermula dari tahun ini.

Atas dasar ingin mengetahui kebenaran yang tersingkap di sebalik kontroversi tersebut, saya mengambil inisiatif untuk meluangkan masa bagi membaca novel ini. Namun, tidak layak bagi saya untuk menganalisis dari perspektif sastera kerana saya tidak mahir dalam bidang tersebut. Saya cuma ingin menceritakan serba sedikit sinopsis serta menyatakan pandangan saya sebagai pembaca.

Novel ini dibahagikan kepada 4 bahagian. Bahagian satu menceritakan tentang kehidupan masyarakat Melayu yang tinggal di kampung di mana majoritinya bekerja sebagai petani. Penulis menggambarkan realiti kehidupan orang Melayu pada zaman sebelum merdeka yang kurang menitikberatkan mengenai ilmu. Bilangan orang Melayu yang boleh menulis dan membaca sangat kurang. Bagi mereka tiada gunanya anak-anak mereka belajar kerana akhirnya akan menjadi seorang petani juga. Tetapi, ada juga yang menghantar anak-anak untuk mengaji, asalkan anak-anak tahu membaca Al-Quran dan solat, itu sudah cukup bagi mereka. Penghayatan terhadap agama itu sendiri tidak mantap. Oleh itu, kepercayaan karut seperti penggunaan tengkorak serta mentera-mentera yang bercanggah dengan agama Islam untuk tujuan perubatan masih diamalkan. Terdapat segelintir ibu bapa yang menghalang anak-anak mereka ke sekolah kerana mereka tidak sanggup bersusah-payah membeli pakaian sekolah dan menyediakan keperluan yang lain. Oleh kerana ceteknya ilmu pengetahuan, mereka mudah dijajah, ditipu dan dimonopoli oleh bangsa asing yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan mereka.

Bahagian kedua pula menceritakan tentang asal usul kaum Cina di Malaya. Digambarkan bahawa kehidupan yang sukar di negara China akibat daripada kerap kali berlakunya bencana alam sehingga menyukarkan kehidupan rakyat di sana. Sawah yang diusahakan musnah sekelip mata sama ada akibat dari kemarau, banjir atau serangan belalang. Disebabkan kesempitan hidup, ramai orang-orang Cina dari pelbagai puak sanggup merantau ke Rantau Selatan ( Malaya dan sekitarnya) untuk mencari rezeki. Perjalanan yang jauh serta terpaksa bersesak di dalam kapal cukup memeritkan. Bab ini juga menceritakan terdapat rasa tidak puas hati di antara puak Hakka dan Hokkien namun perasaan tersebut semakin lama semakin padam kerana mereka sama-sama beradu nasib di negeri orang. Akibat dari kesusahan hidup sewaktu di negara China, mereka menjadi bertambah rajin untuk mencari rezeki dengan harapan dapat membawa banyak kekayaan kembali ke negara China. Ramai orang-orang Cina yang datang ke Malaya membuka kedai-kedai atau bekerja di lombong-lombong. Apabila masyarakat Cina sudah ramai di Malaya, timbul kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan untuk menjamin masa depan anak-anak mereka. Hasil kesepakatan orang-orang Cina, maka diwujudkan sekolah Cina supaya anak-anak mereka dapat belajar serta tidak lupa akan asal usul mereka.

Bahagian yang ketiga menceritakan tentang Maniam, warga India yang datang ke Malaya kerana kesempitan hidup di India. Selain itu, faktor kepadatan penduduk di sana juga menyukarkannya untuk mencari rezeki. Bahagian ini yang menimbulkan kontroversi di mana ada yang mengatakan penulis ini menghina kaum India kerana penggunaan perkataan kasta Paria. Sejujurnya saya tidak tahu mengapa perkataan ini dianggap menghina cuma saya pernah diberitahu oleh seorang kawan dari kaum India supaya tidak menyebut atau menggunakan perkataan ini kerana ianya dianggap sensitif dan saya menghormati nasihatnya. Berbalik kepada kisah Maniam, apabila dia tiba di Pulau Pinang, pelbagai pekerjaan yang dilakukan daripada menjadi kuli sehingga kepada pekerja kebun kelapa.Namun disebabkan pertikaian yang berlaku antara Maniam dan seorang warga India lain yang bernama Suppiah, Maniam dihalau keluar dari kawasan kebun kelapa tersebut dan kemudian dia mendapat kerja di kebun getah. Masyarakat India yang memonopoli kebun-kebun kelapa dan getah meminta pihak penjajah Inggeris untuk mendirikan sebuah sekolah Tamil bagi memberi ruang kepada anak-anak mereka untuk belajar.

Bahagian yang keempat ini menjadi tajuk novel iaitu Interlok. Bahagian ini menyatukan ketiga-tiga bahagian yang awal di mana berlakunya interaksi antara ketiga-tiga kaum yang pada mulanya berlainan bangsa dan budaya. Namun, disebabkan kesusahan hidup ketika zaman penjajah Jepun dan Inggeris, mereka seakan-akan lupa tentang bangsa. Mereka hidup saling bantu-membantu atas dasar kemanusiaan. Generasi baru dari kaum Cina dan India yang lahir di Malaya serta bergaul dengan orang-orang Melayu mewujudkan ikatan kasih sayang sesama mereka. Hal yang demikian kerana ketika zaman penjajahan Jepun, ketiga-tiga kaum ini sama-sama merasai keperitan diseksa oleh penjajah. Pada ketika orang-orang Melayu bangkit menuntut kemerdekaan, orang-orang Cina dan India turut sama mewujudkan persatuan mereka untuk membela nasib mereka di Malaya. Perasaan ingin pulang ke negara masing-masing seperti sudah luntur lantaran sudah terlalu lama hidup di Malaya sehingga ada yang sudah terputus hubungan dengan saudara-mara di negara sendiri. Selain itu, taraf kehidupan mereka di Malaya jauh lebih baik berbanding hidup mereka di negara sendiri sebelum itu.

Kesimpulannya, pada pandangan saya, perkara yang paling penting yang ingin disampaikan oleh penulis ini ialah bagaimana ketiga-tiga kaum yang sangat berbeza dari semua aspek boleh hidup aman damai dalam satu negara. Perpaduan yang kita kecapi pada hari ini harus dipupuk supaya menjadi bertambah erat. Sahabatku sekalian, saya melihat kekuatan negara kita bukan dari segi kekuatan material semata-mata tetapi lebih kepada perpaduan rakyat Malaysia dan akhlak mulia yang wajib diamalkan oleh setiap rakyat Malaysia seperti saling hormat-menghormati. Jika kita tidak mahu orang lain menyakiti kita atau menghina kita, kita juga jangan sesekali berbuat demikian kepada orang lain. Bab 1,2 dan 3 yang ditulis oleh Abdullah Hussain ialah zaman sebelum merdeka, zaman yang sudah menjadi sejarah. Tak usah dibangkitkan mengenai pandangan negatif sesuatu kaum terhadap kaum yang lain. Itu kisah lama. Secara peribadi, saya lebih memahami sensitiviti serta cara pemikiran kaum lain setelah membaca novel ini. Setiap kaum itu ada kelebihan dan kekurangan. Perpaduan kaum Melayu, Cina dan India serta etnik lainnya menjadikan kita yakni rakyat Malaysia saling melengkapi antara satu sama lain. Jika ada tersalah bahasa, saya mohon ampun dan maaf. Saya sekadar berkongsi pengetahuan saya yang tidak seberapa ini dengan anda.