Saya teringat kisah saya dan seorang rakan semasa menaiki monorel suatu ketika dulu. Tak ingat dah bila. Mungkin dalam tahun ini atau tahun lepas. Dari stesen Imbi, kami bertolak untuk ke Chow Kit. Kisah bermula bila ada seorang lelaki mat saleh berdiri tidak jauh dari saya. Di bahagian lengannya terdapat cacahan tatu yang agak besar. Lalu saya bercerita dengan rakan saya tentang hukum cacahan tatu menurut Islam.
Terdapat orang Islam yang mencacah tatu pada bahagian tubuh disebabkan kejahilan mereka dalam agama. Apabila mereka kembali ke pangkal jalan, maka timbullah persoalan sama ada perlu atau tidak mereka menghilangkan tatu tersebut. Tatu ialah satu bentuk pengubahsuaian pada tubuh, ianya dilakukan dengan membuat ukiran melalui penggunaan dakwat kekal ke dalam lapisan dermis kulit untuk mengubah pigmen kulit. Apa jua bentuk pengubahsuaian pada tubuh tanpa sebab kesihatan yang dibenarkan oleh syarak maka hukumnya HARAM. Apa jua tindakan yang dilakukan dengan tujuan meniru budaya orang bukan Islam dan melanggar hukum Islam, hukumnya HARAM. Tak kisah la tatu yang kekal ke, tak kekal ke.
Oleh itu, persoalan samada orang Islam/bukan Islam yang kembali pada fitrah, yang bersaksi bahawa "Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah", adakah mereka perlu membuang tatu kekal tersebut? Setakat ilmu yang saya ada, ianya bergantung pada keadaan individu. Sekiranya proses pembuangan tatu akan membahayakan nyawa, maka hukum HARAM menggunakan proses tersebut. Kerana antara prinsip utama dalam Islam ialah memelihara nyawa. Cukuplah dengan melakukan taubat nasuha, memohon ampun atas keterlanjuran tindakan serta tidak mengulangi kesalahan itu lagi. Kedua, jika berkemampuan untuk menjalani proses pembuangan tatu yang selamat seperti melalui penggunaan laser maka bolehlah dibuang tatu tersebut. Proses pembuangan tatu jauh lebih menyakitkan berbanding proses untuk mencacahnya.
Apa yang menariknya dalam perbincangan saya dan rakan adalah saya tak sedar yang suara saya agak kuat ketika itu. Sampailah rakan saya minta saya lihat di sekeliling. Semua orang yang ada dalam gerabak tersebut sedang memandang saya. Yang buat saya terkejut ialah pada wajah mereka, tak ada sedikit pun riak kurang senang. Semuanya khusyuk mendengar apa yang saya ceritakan dan majoriti daripada mereka adalah dari kalangan bukan Islam. Kecuali mat saleh la sebab dia tak faham Bahasa Melayu. Secara tidak sedar & tak sengaja, dengan izin Allah s.w.t, pendengaran mereka terbuka untuk mendengar percakapan saya. Audiens saya satu gerabak monorel rupanya. Jadi, pada saat itu, orang bukan Islam yang ada dalam gerabak telah mendapat ilmu baru iaitu hukum cacahan tatu dalam Islam. Semoga ianya bermanfaat dan dapat menambah kefahaman mereka tentang Islam. InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan