21 April, 2015

Mula dari niat

Sekadar ilustrasi, tidak ada kena mengena dengan isi kandungan entri melainkan rasa penat =D




Pejam celik...pejam celik dah hampir 2 tahun berada di USM Kubang Kerian. Setahun sebagai pembantu penyelidik dan berdaftar secara rasmi sebagai pelajar sarjana pada September 2014. Alhamdulillah, 80% kerja makmal dan analisis data sudah selesai. Hanya 20% lagi yang perlu dikejar, tekan pedal.....pecuttt, oh yeaahhh! Entri kali ini sekadar ingin berkongsi pengalaman saya sebagai seorang pelajar sarjana. Mungkin ada di luar sana yang berminat dalam bidang penyelidikan, rasa berkobar-kobar saja bila tengok gaya para pensyarah dapat anugerah itu ini & para saintis berjaya menghasilkan pelbagai ciptaan yang dapat memberi kebaikan kepada masyarakat.


Tapiii.....ingat ya, dunia penyelidikan bukan dunia utopia. Ada banyak cabarannya. Terhiris, terluka, tergores dek kerana duri mahu pun serpih kaca itu sudah menjadi lumrah. Ermm... hidup ini memang sentiasa ada pasang surutnya pun, tak kira la apa yang kita buat.

Saya berjumpa dengan penyelia (SV) sekarang melalui Facebook. SV ada iklankan yang dia sedang mencari seorang pelajar untuk projek berkenaan dengan Madu Tualang. Masa kali pertama tengok tajuk projek tu, saya memang dah tertarik. Saya teringat pada Surah An-Nahl iaitu satu surah dalam Al-Quran berkenaan dengan lebah. Saya asyik terfikir apa yang istimewanya tentang madu lebah sehingga ianya disebut-sebut di dalam Al-Quran? Malah Nabi Muhammad s.a.w pun gemar memakan madu lebah.

Waktu ditemuduga, SV dah terus-terang berkenaan dengan baki geran yang ada. Dia hanya mampu bayar gaji saya sebanyak RM500 untuk 6 bulan. Beribu kali jugak la fikir, RM500 untuk sewa bilik + makan minum. Semput kot dalam zaman sekarang ni. Diri sendiri pun tak lepas apatah lagi nak hulur pada mak di kampung. Selepas mendengar pendapat ahli keluarga, saya solat istikharah, mohon petunjuk daripada Allah s.w.t mengenai keputusan sama ada untuk terima projek tu @ tak. 

Terima!

Haah, terima walau dibayar ciput. Haah, tetap terima walaupun selepas 6 bulan saya terpaksa buat kerja tanpa gaji. Untung juga ahli keluarga yang lain saling tolong-menolong untuk perbelanjaan sara hidup. 

Pelajar lain di sekeliling saya tanya:

Macam mana survive?
Macam mana boleh sentiasa bersemangat buat kerja walaupun tak dibayar?
Macam mana buat kerja cepat?

Di sebalik pahit hidup tak berduit, saya bersyukur. Disebabkan tak ada gaji, saya cuba menulis cerpen untuk majalah bagi mendapatkan pendapatan sampingan. Sekurang-kurangnya kalau terputus aliran debit dari keluarga, tak adalah saya nak kredit dengan orang lain. Boleh juga support hidup sendiri sikit-sikit. Tak sangka juga saya boleh menulis cerpen sampai menang pertandingan peringkat kebangsaan. Serius tak sangka walaupun masa tulis tu memang la angan-angan nak menang. Hee...

Urusan kajian pun banyak dipermudahkan oleh-Nya dan saya dapat peluang menyertai program lawatan sambil belajar di Jepun. Allah Maha Pemurah. Rezeki yang Dia bagi dari pelbagai cara. Memang wang tunai tak tergenggam dalam tangan tapi peluang menuntut ilmu & pengalaman menerokai pelbagai disiplin ilmu sepanjang berada di sini adalah nikmat kurniaan-Nya yang sangat berharga.

Tipu la kalau tak rasa sakit langsung bila kocek berlubang. Memang tak normal la kalau perut tak pernah menjerit lagu keroncong bila nak makan pun kena berkira-kira. Kalau pada orang lain, nasi tu makanan ruji, pada saya roti putih tu dah kira mewah. Mi segera memang saya elakkan sebab prinsip saya, kesihatan perlu diutamakan walaupun kita susah. Sihat tubuh badan ialah salah satu aset paling berharga yang Allah anugerahkan. Setiap anugerah itu perlu dijaga sebaiknya, tak gitu? Jadi, tak berduit macam mana sekali pun, saya tetap pastikan pemakanan seharian terjaga. Kalau tak mampu nak beli nasi, lauk pauk & sebagainya, kurma menjadi pilihan. 

Semuanya bermula dengan niat. Sejak awal, niat saya melakukan penyelidikan ini ialah semata-mata kerana Dia. Kerana ilmu-Nya. Saya letakkan kepercayaan 100% pada Dia. Saya percaya rezeki itu datang dari Allah s.w.t, bukan SV. 

Kedua, saya berpegang pada prinsip Accomplished or do not begin. Bila kita dah mula sesuatu, buat sehabis baik. Kalau tak, jangan mula. Jadi, andaikata ada rasa-rasa berminat nak sambung belajar, selidiklah dahulu tentang baik buruk sesuatu projek. Bila anda dah bertekad untuk sambung belajar, mohon pada Dia untuk dikuatkan semangat bagi menghadapi segala rintangan yang akan menjengah. Apa yang saya cerita hanya sekelumit dari cabaran yang akan ditempuh. Nak cerita panjang-panjang, rasa dah boleh jadi novel gayanya. Haha...

Wasalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan