18 Jun, 2015

Ke mana adab sopan?


Sejak kecil saya selalu dengar orang kata, kita orang Timur, penuh dengan adab sopan. Setiap perkara yang nak dilakukan perlu ada kesantunan. Sejak kecil diajar untuk tundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang yang lebih tua, diajar untuk bertindak dengan matang apabila berhadapan dengan kerenah adik-adik, diajar untuk menyahut panggilan dan tidak meninggi suara apabila bercakap dengan orang yang lebih tua. 

Sekarang, bila saya dah dewasa, berurusan dengan ramai orang dari pelbagai latar belakang, usia dan bangsa, saya merasakan bahawa apa yang didengar dahulu sekadar indah khabar dari rupa. 

Ke mana adab sopan?

Jika nak diukur dari segi taraf pendidikan, bukankah yang berpendidikan tinggi itu patut lebih tinggi fikirannya, lebih tinggi adab sopannya? Saya pernah ditengking oleh seorang doktor sewaktu praktikal walhal saya tidak berbuat salah. Sebagai pelajar praktikal, ada prosedur yang saya tidak layak untuk mengendalikannya. Saya pernah menerima email daripada golongan profesional yang menaip email dengan kasar. Tanpa salam. Terus disemburnya saya dengan pertanyaan yang berbaur provokasi. 

Jika nak dikata sopan itu budaya Timur, tidak sopan itu budaya Barat, saya pernah menerima email daripada golongan profesional dari negara luar yang menaip dengan penuh sopan walaupun kami tidak mengenali antara satu sama lain. Dia bukan orang Timur. Jawatan pula sudah tentu jauh lebih tinggi berbanding saya.

Kalau dikatakan yang berusia itu lebih matang, lebih tahu bertindak dengan adab sopan, saya pernah tidak semena-mena ditengking oleh pemandu bas atau teksi yang jauh lebih berusia dari saya. Pemandu teksi yang meminta bayaran lebih kerana saya tidak melayaninya. Bagaimana tergamak dia mengganggu penumpang yang boleh dikatakan seusia anaknya?

Sewaktu membeli makanan di kafe, muka mak cik kafe berkerut seribu. Kita beli bayar duit kot, bukannya minta sedekah dari dia.

Buka laman sesawang sosial, sana kata sini, sini kutuk sana, sana maki situ. Bagi yang berkedudukan tinggi, mungkin jawatan, kuasa dan ego sudah sarat terjunjung dalam tempurung kepala akhirnya....

otak diletak di tempurung lutut. 

Bagi yang sekadar rakyat marhaen, mungkinkah kurang ilmu, kurang iman, kurang didikan yang akhirnya menjurus kepada kurang pelAJARan?

Saya tak tahu ke mana adab sopan tapi berdasarkan pemerhatian saya, adab sopan itu terhakis dengan sifat sombong. Sombong dengan kuasa, sombong dengan ilmu, sombong dengan keturunan, sombong dengan adanya kelebihan yang diperlukan oleh orang lain.

Apa yang kita nak sombong? Milik kitakah segala yang ada di langit dan bumi?  Burung terbang atas perintah kita? Pokok berbuah atas perintah kita? Matahari terbit dan terbenam atas perintah kita?