11 Mei, 2011

Cubaan


"Tiap-tiap diri pastilah merasakan mati. Dan sesungguhnya akan Kami berikan percubaan kepada kamu dengan kesusahan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kepada Kami-lah kamu semua akan kembali." ( Surah Al-Anbiya' ayat 35)

Pada pangkal ayat ini disebut "Tiap-tiap diri pastilah merasakan mati". Segala yang hidup tidak kira apa darjatnya di dunia ini sekalipun pasti akan merasakan sakaratul maut. Mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ialah satu proses untuk ke alam yang kekal abadi. Hidup di dunia ini cuma satu persinggahan, segala yang ada di sekeliling dan yang berlaku kepada kita membantu kita mengumpul seberapa banyak pahala atau pun dosa yang semuanya akan dihisab di padang mahsyar kelak. Balasan yang setimpal akan diberikan mengikut usaha kita di dunia ini. Janji Allah s.w.t bahawa seseorang itu tidak akan dizalimi sedikit pun, pasti ada balasannya untuk setiap amalan yang dikerjakan.

Keduanya, disebutkan tentang kesusahan dan kebaikan sebagai cubaan.Kadang-kadang kita ketawa, kadang-kadang kita menangis. Kadang-kadang kita diberi nikmat, kadang kita ditimpa musibah. Kadang-kadang kita sihat, kadang-kadang kita sakit.Hidup ini ibarat roda. Susah senang silih berganti seperti juga malam dan siang. Manusia apabila diberi nikmat maka mudahlah dia melupakan Pemberi nikmat itu kerana kelekaannya atau timbul sifat riak dalam dirinya. Contoh yang paling senang ialah pelajar yang tidak solat, suka ponteng kelas tetapi mendapat keputusan yang lebih cemerlang dari pelajar yang bertungkus-lumus berusaha memahami pelajaran dan dalam masa yang sama menunaikan perintah Allah. Sengaja saya gunakan contoh ini kerana ramai rakan-rakan sekeliling saya yang mengadu tentang permasalahan ini. Saya juga mengalami perkara yang sama. Saya katakan kepada rakan saya, kejayaan yang Allah berikan kepada si dia itu satu cubaan pada dirinya dan kegagalan kita mendapat pointer yang baik ialah cubaan untuk kita supaya kita terus berusaha dan sentiasa percaya bahawa Allah tidak akan sesekali mensi-siakan usaha kita. Memang seronok bila berusaha ala kadar tapi dapat pointer yang 'power'. Namun, kita kena sedar adakah pointer yang tinggi itu berkat apabila perintah Allah dilanggarnya. Orang yang melanggar perintah Allah, sudah pasti tidak ada masalah baginya untuk melanggar perintah/ peraturan yang ditetapkan oleh manusia. Kenikmatan sering kali melalaikan manusia daripada mengingati Allah.

Kesenangan dan kesusahan akan mewarnai hidup kita selama nyawa masih dikandung badan. " Dan kepada Kami-lah kamu semua akan kembali." Setiap orang akan menempuh ujian, dugaan dan cabaran semasa hidup. Pengakhirannya ialah sama ada seseorang itu berjaya atau gagal dalam melepasi semua dugaan tersebut ketika kita menghadap Allah s.w.t.
Kesusahan juga satu cubaan. Cubaan untuk menguji sejauh mana keimanan dan kepercayaan seseorang itu kepada Allah. Tanpa iman yang kukuh dan semangat yang kental, tidak mustahil beban musibah yang menimpa akan semakin melemahkan kepercayaan dan kebergantungan seseorang kepada Yang Maha Esa. Apabila diberi nikmat, ingatlah bahawa semuanya milik Allah dan apabila ditimpa musibah, ingatlah bahawa Allah ingin menguji sejauh mana rasa cinta kita terhadap-Nya. Biarlah kita susah di dunia yang sementara ini asalkan kita gembira bertemu dengan-Nya di akhirat kelak.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Sekian, waallahua'lam.

Rujukan: Tafsir Al-Azhar, Prof Dr. Hamka, Juzuk 17 Surah Al'Anbiyaa' ayat 35 dan Al-Quran Terjemahan Pustaka Darul Iman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan