20 April, 2011

Kita serupa walaupun berbeza



"Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui." ( Surah Ar-Rum ayat 22)

Setiap yang Allah jadikan itu pasti ada sebabnya. Walaupun kita berbeza warna kulit dan bahasa tapi kita serupa, kita sama-sama dijadikan oleh Allah s.w.t. Oleh itu, tidak perlu wujud sebarang diskriminasi sesama kita jika kita sedar bahawa diri kita dan segala yang ada di langit dan bumi ini ialah milik Allah secara mutlak.

Saya menulis artikel ini kerana teringatkan kisah zaman kanak-kanak sewaktu di sekolah rendah dulu. Saya bersekolah di sekolah kebangsaan, jadi memang sejak kecil saya bercampur-gaul dengan rakan-rakan dari pelbagai bangsa. Dalam ramai-ramai kawan saya,hari ini tiba-tiba saya teringatkan 2 orang hamba Allah. Seorang namanya Amalina, seingat saya dia kawan saya kacukan Melayu dan Inggeris. Waktu saya berumur 8 tahun, Amalina belajar sementara di sekolah saya. Dia datang dari London, dia memang tak faham Bahasa Melayu. Walaupun saya tak fasih berbahasa Inggeris tapi saya 'redah' saja sebab saya suka kawan dengan dia. Kami belajar dalam satu kelas. Saya ingin tahu kenapa dia nampak berbeza? Kenapa rambutnya perang?

Pada awalnya, ramai yang ingin berkawan dengan dia tapi selepas itu, ramai pula yang tak puas hati. Dia memang cantik. Agaknya mereka cemburu. Ramai pelajar yang suka mengusik dia dan menarik-narik rambutnya. Saya dan rakan-rakan lain berkawan dengan dia seperti biasa sampailah dia berpindah ke sekolah lain. Yang kedua namanya Ayu. Bapanya seorang Cina Muslim. Ramai juga yang mengejek dia kerana bapanya seorang Cina dan kerana rupa paras Ayu pun seperti orang Cina tetapi bertudung dan matanya sepet. Saya ingat lagi waktu dia menangis, mengadu kepada saya dan rakan-rakan yang lain. Sebagai pelajar sekolah rendah, apalah sangat nasihat yang boleh saya bagi. Saya hanya boleh kata dia istimewa sebab dia lain dari yang lain. Walaupun orang lain tak suka, saya suka kawan dengan dia. Ayahnya baik dan pada pendapat saya, sikap orang lain yang mentertawakan serta mengejek Ayu serta ayahnya sangat melampaui batas. Apatah lagi sesama Muslim biarpun kita berlainan bangsa dan warna kulit.

Saya tertanya-tanya, perlukah kita rasa cemburu dengan kelebihan yang Allah beri kepada orang lain? Perlukah kita saling bertelagah hanya kerana perbezaan fizikal atau bahasa kita? Adakah Allah jadikan kita ini berbeza untuk saling bergaduh? Kita beriman bahawa Allah itu Tuhan yang Maha Berkuasa, bukan? Maha Kaya, pemilik segala yang ada di langit dan bumi. Siapa kita untuk memprotes nikmat yg diberi-Nya kepada orang lain? Sedarlah kita ini cuma hamba-Nya. Layakkah seorang hamba memprotes pemberian dan penciptaan Tuannya terhadap hamba yang lain?

Saya sekadar berkongsi pendapat dan muhasabah untuk diri sendiri serta pembaca yang lain. Amalina dan Ayu ialah kenangan zaman kanak-kanak saya. Alhamdulillah, Allah takdirkan saya mengenali mereka dan belajar untuk menerima perbezaan yang wujud sesama manusia. Semoga kami bertemu semula satu hari nanti. InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan