13 September, 2011

Harga sebutir beras


Hari kedua di asrama ternampak ada yang buang lebih kurang 3 senduk nasi. Kaya rupanya orang Malaysia ni, bila harga barang naik tahu pulak nak melenting. Saya lihat ramai ja yang membazir makanan merata-rata. Kalau dah tahu harga barang makin naik, kenapa tak belajar berjimat? Susah sangat ke?

Saya cukup baik hati untuk beritahu malam ni tentang cara-cara untuk mengelak daripada membazir makanan. Antaranya:

1. Kenal perut sendiri. Kalau dah tahu perut tu cepat kenyang, tak perlu beli makanan banyak-banyak. Cuba kawal nafsu.

2. Bila masak nasi tu berpada-pada lah. Kalau setakat dua orang makan, 1 cawan pun dah cukup.

3. Cuba ringankan tangan untuk sedekah makanan yang lebih tu kepada kawan lain yang kurang berkemampuan.

Tong beras di rumah saya pernah kosong tanpa sebutir beras. Saya lihat betapa susahnya mak saya berjimat cermat supaya kami sekeluarga tak kelaparan. Seorang kawan saya di PLKN pernah menangis sewaktu kami makan. Bila ditanya, kawan saya cerita yang dia sekeluarga sangat jarang makan ayam atau daging. Setiap hari dia dan adik-adik hanya makan telur atau ikan kering yang dikongsi bersama. Ketika dia gembira menikmati hidangan yang lazat di kem, dia terfikir apakah nasib adik-adiknya di rumah. Ini yang saya lihat di sekeliling saya, saya pasti ada lagi yang lebih daif di luar sana seperti masalah kebuluran di Somalia.

Setiap kali makan, sila lihat pinggan dan muhasabah diri sendiri. Adakah anda membazir hari ni? Apa erti anda mengucapkan alhamdulillah selepas makan kalau rezeki yang Allah s.w.t bagi senang-senang ja anda buang? Saya tak perlu simpati sesiapa tentang kisah di atas, ianya sekadar renungan. Saya beritahu perkara yang benar, terpulang kepada diri masing-masing sama ada ingin berubah ke arah yang lebih baik atau pertahankan 'amalan' tidak sihat itu.

Pesanan dari guru saya, membazir itu perangai syaitan. Siapa yang membazir, dia kawan dengan syaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan