Pelbagai perkara yang dikongsi oleh sahabat handai di media sosial. Gosip artis, kata-kata hikmah, aktiviti harian, dakwah, info tentang pelajaran atau kerja dan 1001 macam lagi hal. Kita hanya boleh baca perkara yang dikongsi tapi kita tak boleh nak telah niat seseorang. Ada orang yang sebarkan perkara baik dengan ikhlas, ada yang inginkan pujian atau ada yang sekadar ingin meluahkan perasaan. Sama juga bagi pihak yang membaca hasil tulisan tersebut. Ada orang yang suka, ada yang tak suka dan ada juga tak ambil kisah. Kita semua pernah menghadapi keadaan ini. Pada saya, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Tak kira la siapa yang tulis hal tersebut.
Saya tertarik dengan pandangan seorang rakan,
Rakan: Saya tak suka tulis status di Facebook.
Saya : Kenapa?
Rakan: Saya takut status tu akan mengguris hati rakan-rakan yang lain.
Saya : Contohnya?
Rakan: Contoh kita dapat kerja atau sambung belajar. Kita seronok ja heboh tapi mana tahu ada di kalangan kawan kita yang masih belum bernasib baik. Mungkin ada yang terasa. Sebab saya sendiri pernah rasa keadaan macam tu masa dalam tempoh menganggur dulu.
Benar juga kata dia. Saya pun pernah buat kesalahan sebegitu. Kita niat untuk kongsi kegembiraan dengan rakan-rakan tapi dalam masa yang sama mungkin kita dah mengguris hati mereka secara tak sengaja. Ada yang heboh tentang majlis perkahwinan, memang patut heboh la bila dah kahwin. Tapi bila ditulis tentang bahagianya kehidupan berkahwin & masing-masing asyik bertanya pada rakan yang bujang, bila nak kahwin? For me, that's too much. Ianya memang mengguris perasaan. Semua orang nak kahwin kann.. cuma ada yang masih belum bertemu dengan jodoh yang sesuai.
Ada juga yang sebarkan tentang pasangan bahagia yang soleh, bijak...sempurna serba serbi. Mungkin tujuannya untuk menggalakkan orang muda berkahwin daripada berpasang-pasangan secara haram. Tapi ianya juga mungkin melemahkan semangat bagi mereka yang pencapaian akademiknya tidak seberapa dan soal jodoh juga masih menjadi misteri pada empunya diri. Golongan ini sedang diuji dan 'post' seperti yang diperkatakan mungkin akan menambah beban di hati mereka, siapa tahu? (termasuk orang yang tulis artikel ni.....huahuahua)
Contoh lain, ada yang sebarkan tentang makanan yang sedap-sedap. Ya, mungkin sekadar ingin berseronok tapi mana tahu ada di kalangan rakan kita yang lain sedang menahan lapar. Terutamanya bagi mereka yang sambung belajar. Ada yang tak ditaja oleh mana-mana pihak, hanya bergantung pada ibubapa & duit simpanan. Jadi, menu seharian tu perlu dikira-kira supaya tak lebih bajet. Kadang-kadang mungkin terpaksa ikat perut, hanya roti & air kosong sebagai alas. Secara tak langsung kita sebenarnya telah menggugat kesabaran mereka dalam menempuh dugaan sebegini. Ibarat menabur garam ke luka yang sedia ada.
Mana-mana kesalahan lepas yang kita lakukan, dah tak boleh nak patah balik. Cuma mulai sekarang, apa kata kita berazam untuk menghadkan 'post' perkara-perkara yang dirasakan mudah disalah tafsir. Sebelum 'post' sesuatu, pertimbangkan dulu baik buruknya. Kita tak boleh puaskan hati semua orang tapi tak salah pun kalau kita cuba sedaya upaya untuk meminimumkan potensi diri dalam mengguris hati orang lain. Tak gitu? =)