Bila menghafal, rasa susah sangat nak faham. Bila dah faham pun, adakalanya susah sangat nak ingat. Bila dah ingat pula, rasa susah nak diaplikasikan. Inilah cabaran dalam menuntut ilmu. Dari sekolah rendah sampai la ke peringkat menara gading, ianya sering menjengah tanpa mengira subjek dan waktu. Ketika belajar Matematik Tambahan dulu, asyik terfikir, "Kat ceruk mana la dalam hidup aku nak guna sin, cos & tan nih?" Teringat pula sewaktu menyiapkan projek tahun akhir (FYP). Banyak pengetahuan baru yang diperoleh, tak kurang juga banyak pengajaran yang tersirat dan tersurat hasil tarbiah dari Maha Esa.
" Rilek la. Projek degree je pun."
" What did you said? Degree je???"
Ha, ya la. FYP degree JE ni la yang membuatkan tidur tak lena, mandi tak berapa nak basah tapi Alhamdulillah, makan tak pernah tak kenyang. Haha... Projek yang melibatkan penyelidikan adalah bermaksud kita melakukan sesuatu kerja, menggali sesuatu ilmu yang belum pernah ditemui oleh orang lain. Merangka kertas cadangan projek pun sudah cukup memeningkan kepala. Ya, memang pernah belajar tentang biokimia, farmakologi, fisiologi, anatomi & etc. Tapi macam mana nak gabungkan segala pengetahuan tersebut dalam satu rangka penyelidikan yang boleh memberi faedah dalam bidang perubatan. In simple way, how does this research can be use to save lives?
Ada satu teknik yang saya belajar mengambil masa selama 2 bulan sebelum saya dapat melakukannya dengan baik. Ada satu ketika di mana segala percubaan saya menemui kegagalan. Setiap satu langkah kerja telah diikuti dengan teliti tetapi timbul pula masalah yang tak pernah terlintas di fikiran. Sangat meletihkan. Keadaan ini berlarutan selama beberapa bulan sampai la saya menemui jalan buntu. Dah tak tahu apa lagi yang nak dibetulkan. Mana puncanya, mana yang salahnya?
Suatu malam saya membaca Surah Ar-Rahman dan berkali-kali saya baca tafsirnya. Letih sudah menghadap hasil kajian yang bercelaru lantas malam itu saya mengambil masa untuk muhasabah diri, ambil masa untuk bertenang dari segala kekusutan yang membelengu. Antara pertanyaan yang dilontarkan pada diri sendiri:
Siapa yang menjadikan tumbuhan yang saya kaji ini?
Siapa yang mencipta parasit yang saya kaji?
Siapa yang mengatur fisiologi saya dan haiwan kajian?
Dalam skop yang lebih umum, siapa yang memiliki ilmu pengetahuan dalam setiap perkara?
Bukankah kalau kita tak tahu, kita kena tanya pada yang tahu?
Segala soalan ini membawa saya kepada satu kesimpulan. "Ilmu itu cahaya dan cahaya ini tidak dapat menembusi ruang hati yang legap lantaran noda dosa." Saya bertemu dengan satu jalan penyelesaian berharga iaitu bila kita terasa sukar dalam menuntut ilmu, bertaubatlah. Taubat nasuha. Mungkin tanpa kita sedar ada banyak titik hitam yang menyelaputi hati ini sehingga kita terhijab daripada menerima ilmu. Saya mula faham kata-kata pensyarah saya, " Hormati sumber ilmu kamu." Hormati buku yang darinya kita mendapat pengetahuan, hormati guru yang darinya kita belajar, hormati haiwan kajian yang dari hidupnya kita mengambil ilmu. Dan yang paling utama adalah ilmu itu milik Dia secara mutlak. Kembalikan tumpuan pada Dia dan dengan izin dari-Nya, kita akan bertemu dengan ilmu yang dicari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan