22 Jun, 2014

Jelajah Kelantan 1

" Awak tak boleh bawa kereta kat sini. Awak bukan orang Kelantan, tak tahu jalan."

Pergghh...terbakar hati, jiwa dan raga mendengar kata-kata ini. Kalau kita tak boleh buat sesuatu, tak semestinya orang lain pun tak boleh buat. Walau apa pun, terima kasihlah kepada yang mencabar saya. Sekurang-kurangnya, ia memberi motivasi pada diri ini untuk keluar dan menjelajah tempat-tempat menarik di Kelantan. Sebelum ini, niat menjelajah tu jadi terbantut bila mengenangkan duit yang perlu dihabiskan untuk petrol dan sewa kereta. Ehmmm... 

Malas nak berbicara tentang perkara negatif, kali ni saya nak kongsi tentang tempat-tempat menarik yang saya sempat lawati untuk kali ini. 


Pantai Cahaya Bulan

Pantai ni memang dah lama ada dalam senarai tempat yang paling ingin dilawati. Masa saya sampai, nampaknya di sini mereka sedang mengusahakan pembinaan benteng. Seperti dalam gambar, dah tak ada peluang nak pijak pasir pantai sambil merasai kaki dihempas ombak. Walau apa pun, saya tetap enjoy dengan suasana di sini. Tambahan pula saya pergi pada waktu awal pagi, jadi tak ramai orang.



Istana Jahar

Istana ini dijadikan muzium. Ada pelbagai barangan sejarah yang berkaitan dengan adat istiadat diraja serta senjata orang-orang Melayu dipamerkan. Sudut yang paling menarik perhatian saya ialah Balai Senjata. Ianya terletak di bahagian belakang istana. Terdapat penerangan mengenai keris, silat dan pelbagai jenis senjata dipamerkan.



Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Masjid ini merupakan salah satu di antara masjid tertua di Kelantan dan pernah menjadi tempat pengajian ramai ulama Nusantara contohnya Tok Kenali. Masjid ini hanya terletak di seberang jalan dari Istana Jahar. Untuk pengetahuan semua, kawasan Masjid Muhammadi, Istana Jahar, Istana Balai Besar, Muzium Perang, Tambatan Diraja, Kampung Kraftangan dan Menara Tinjau, semuanya terletak berdekatan. Kawasan ini dipanggil Kota Ismail Petra. Kebetulan masa saya sampai di masjid, ada kelas pengajian Syeikh Nuruddin Al-Banjari. Murah rezeki nampaknya hari ini, boleh join sekali. =D

Bagi saya, duit sewa kereta dan petrol yang dihabiskan sangat berbaloi dengan pengalaman, ilmu dan kepuasan hati yang saya dapat. Duit boleh dicari tapi kesempatan yang Allah bagi untuk berjalan melihat kebesaran-Nya tidak ternilai harganya dengan wang ringgit. InsyaAllah, di masa akan datang saya akan kongsikan lagi tempat-tempat menarik di Kelantan untuk dilawati. Sekian, bubye!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan