21 September, 2011

Rahsia perpaduan


Malam ini saya dijemput menghadiri mesyuarat organisasi baru Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bagi Det. kolej saya selaku pemantau. Saya teringat kembali saat saya menjadi Penolong Komandan bagi sesi yang lepas. Ahli organisasi kami terdiri daripada pelbagai bangsa walaupun majoritinya ialah pelajar Cina. Apa yang saya nak kongsi dengan anda ialah bagaimana kami wujudkan dan semarakkan semangat perpaduan seperti kami ialah satu keluarga. Saya sangat bangga dengan organisasi kami kerana kami sangat rapat walaupun berbeza dari segi agama, bangsa, personaliti dan bahasa.

Rahsia kami:

1. Persefahaman. Apabila kami menjadi pemudahcara bagi Minggu Mesra Pelajar, kami luangkan banyak masa bersama. Makan, tidur, menjaga dan merawat pesakit. Matlamat kami ialah semua pelajar dan pemudahcara(PC) di bawah jagaan kami berada dalam keadaan sihat. Saya tinggal sebilik dengan PC berbangsa Cina. Saya maklumkan tentang kewajiban saya untuk solat 5 waktu serta had aurat antara saya dan dia. Bila saya solat, dia akan jaga pesakit. Sebagai Muslim, saya juga menerangkan tentang tatatertib dalam memberikan rawatan kecemasan kepada ahli non-muslim terutama apabila melibatkan rawatan terhadap berlainan jantina.

2. Majoriti ahli berbangsa Cina kurang fasih berbahasa Melayu. Ketika mencatat minit mesyuarat, adakalanya mereka tak dapat menterjemah sesuatu perkataan Mandarin ke dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Dengan adanya persefahaman yang kukuh, dari raut wajah pun kami dah boleh tahu apa yang nak disampaikan dan apa isi hati ahli yang sedang membuat pembentangan walaupun adakalanya ahli menggunakan ayat tergantung.

3. Tolak ansur. Kami sangat berbeza dari segi personaliti. Ada yang cepat marah, ada yang sangat tegas, ada yang banyak cakap, ada yang suka makan, ada yang selalu 'blur'. Hanya dengan bersikap tolak ansur kami dapat menyelesaikan tugas dalam keadaan harmoni dan gembira. Kalau ada kesilapan yang sikit-sikit tu, maafkan sajalah. Jika kesilapan yang dilakukan itu serius, kami berbincang secara terbuka dan ambil iktibar dengan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kelebihan dan kelemahan setiap individu bila disatukan dalam satu kumpulan dapat menghasilkan satu kumpulan yang hampir sempurna apabila saling melengkapi.

4. Ambil berat. Setiap ahli sangat mengambil berat tentang kesihatan ahli lain kerana kami perlu sentiasa dalam keadaan sihat supaya tugas yang diberi dapat dilaksanakan sebaiknya. Bila ada yang hampir sakit kerana terlalu letih, yang lain akan bergilir-gilir mengganti tugasnya tanpa ada sikap mementingkan diri sendiri.

5. Komited. Nilai ini WAJIB ada dalam diri semua ahli. Dalam organisasi kami, majoriti sangat aktif dengan aktiviti kolej dan fakulti. Namun, tanggungjawab terhadap jawatan yang disandang perlu dipikul dengan sebaik-baiknya supaya tak ada ahli yang akan membebankan ahli lain dengan tugasannya yang tidak sempurna.

Perpaduan hanya dapat dicapai dengan komitmen dari setiap individu terlibat dan persefahaman antara satu sama lain dalam kelompok tersebut. Seorang pensyarah saya pernah kata, " People who eat together, stick together." Dia sentiasa galakkan mereka yang perlu membuat kerja berkumpulan makan bersama supaya lebih mudah untuk mewujudkan persefahaman dan kemesraan antara ahli kumpulan.

p/s: Aurat= bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan