11 November, 2014

Kembara Zikir 3: Satu bandar, dua pandang


Selepas sebulan mengerah akal dan keringat bagi menyiapkan laporan hasil penyelidikan, mengulangkaji bagai nak rak untuk menduduki peperiksaan SPA, tepu otak gara-gara menyerap segala ilmu yang diajar sewaktu bengkel penulisan manuskrip akhirnya saya memutuskan bahawa  "Enough! I need a break."

Memang sepanjang berada di kampus saya tidak keluar ke mana-mana. Kalau keluar pun sekadar nak beli barang keperluan di pasaraya berdekatan. Rasa macam duduk dalam gua pun ada. TV memang tak tengok langsung, berita pun jarang-jarang baca terutama sekali waktu giat menyiapkan laporan. Menghadap kerja yang berlambak di depan mata sudah cukup buat diri rasa tertekan, apatah lagi bila membaca berita di dada akhbar. Gelagat para dubuk yang bertikam lidah ditambah dengan si kakak tua yang hanya menyebar berita tanpa usul periksa mahu pun ilmu di dada, menyampah. Berbisik pada diri, "Aku senang menjadi si bisu separuh masa, hanya berkata yang ada manfaat sahaja."

Kebetulan ada tiket flight murah ke KL, langsung terus dibeli. Leganya dapat terbang. Dalam hati berdoa pada Tuhan, semoga dijadikan kembara kali ini bermanfaat untuk diriku dan dapat juga dimanfaatkan bersama orang lain. Jika sebelum ini kembara menyusuri pentas Semenanjung ke rumah-rumah saudara, kali ini beralih kepada menziarahi sahabat handai di kampus yang lalu. Banyak cerita suka duka tentang kisah mereka selepas setahun tidak berjumpa. Merasakan diri ini sukar di utara pantai timur, yang ada di ibu kota KL pun punya sakit yang tersendiri walaupun puncanya berbeza. Rezeki masing-masing. 

Komuter yang baru terasa lebih efisien dari yang dulu. Teknologi baru tetapi sikap kebanyakan rakyat Malaysia masih di takuk lama. Mulanya berbaris di terminal namun apabila tiba tren yang ditunggu, langsung berebut masuk. Buruk sangat perangai. Mata ini memerhati riak beberapa pelancong asing. Aku kenal muka itu, muka muak menghadap ketamadunan akhlak kelas ketiga.

Pada hari bersiar-siar di sekitar Dataran Merdeka tatkala gerimis mencium bumi, diri ini merasakan kenapa tidak aku sedari sebelumnya bahawa tempat ini sangat cantik. Apabila bergambar kenangan dengan berlatar belakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad, persis suasananya gaya berada di kota lama Eropah. Angin yang menghembus terasa damai sekali. Buat pertama kali, aku bertemu dengan Perpustakaan Kuala Lumpur. Sebelum ini, hanya tahu tentang Perpustakaan Negara di Jalan Tun Razak saja.

Dalam perjalanan pulang mencari stesen LRT, laluan pintas dari Dataran Merdeka ke Pasar Seni melalui Kompleks Dayabumi di pilih. Bau di kawasan jejantas laluan itu agak meloyakan. Berbisik bersama teman, tadi kita melihat rupa indah KL, sekarang kita melihat bandar yang sama namun dari sudut pandang yang berbeza. Sampai di dua persimpangan, mulanya kaki melangkah ke arah kanan. Kelihatan najis manusia di kiri laluan. Kotor! Pandangan dihadap ke depan, golongan gelandangan sedang berbaring, berjalan, melepak di laluan. Terus kaki diundur ke belakang, memilih persimpangan kiri yang ditinggalkan pada mulanya. Saraf otak beradu menghantar impuls, apa semua ini? Tatkala warga asing datang berpusu-pusu mencari pekerjaan di negaraku, mereka yang sewarganegara pula merempat di ceruk kota. Tadinya aku berjalan, yang menjual barang bukan bangsaku, yang menjadi pengawal keselamatan bukan bangsaku, yang memasak di restoran atau kedai juga bukan bangsaku. Gelandangan yang tinggal di jejantas kotor tadi itu? Ya, pahit mulut untuk aku mengaku bahawa mereka bangsaku. Rakyat asli negara ini. Aku kelu. 

Tidak ku hina barang sesiapa, hanya bercerita apa yang terlihat saja.