29 Jun, 2011

Sayang dia, sayang semuanya

Jika kita benar-benar sayangkan seseorang, kita perlu sayang segala baik dan buruk tentang diri dia. Betul tak? Entri kali ini bukan tentang kisah malar segar, cinta. Saya nak kongsi tentang kasih sayang terhadap haiwan peliharaan. Sekarang, jumlah kucing saya mencapai 7 ekor. Bila saya beritahu pada orang lain, semua kata eeeii...banyaknya. Tapi bagi keluarga saya, kami memang suka. Hari tu sebelum kucing saya beranak, ada 4 ekor ja. Rasa sunyi sangat kat rumah ni.

Sekarang, jumlah kucing melebihi ahli keluarga saya. Macam-macam ragam. Waktu dia agresif, boleh bergegar rumah papan ni. Berlari ke sana sini, melompat, habis semua dinding nak ditendangnya. Nama dia Bobo, dia suka buat gaya gimnastik macam kat bawah ni.


Ada juga kucing saya yang cepat marah (hehe..macam tuan dia). Bila kita buat sesuatu yang dia tak suka atau menjengkelkan, dia akan jelir lidah.


Nama dia Juni. Kucing saya yang paling tua, umur dia 7 tahun setengah. Seumur hidup, saya dah bela dalam 35 ekor kucing. Setiap kucing saya ada personaliti yang tersendiri. Semua saya sayang. Tak ada mana-mana kucing yang dapat mengganti kucing-kucing yang dah mati atau hilang. Kucing sama juga macam manusia, adakalanya sihat adakalanya sakit.

Nak tahu sejauh mana kasih sayang kamu terhadap kucing ialah bila dia sakit. Kadang-kadang bila dia kurang sihat, tingkah laku dia akan berubah seperti buang air di merata-rata atau muntah. Jika kamu betul-betul sayang, kamu akan sanggup bertahan. Cuci najis dia, cuci muntah dia, rawat luka dia, suapkan ubat dan sanggup menghabiskan duit untuk merawat dia di klinik haiwan. Jika kamu tak sanggup buat semua ni, saya nasihatkan kamu tak perlu bela kucing walaupun kamu sangat suka dengan kucing. Suka dan sayang itu beza. Daripada kamu menzalimi dia, biar dia merana menahan sakit, tak perlulah. Kamu hanya akan menjadi tuan yang penting diri sendiri.

Bak kata pepatah, langit tak selalu cerah. Hari ini dia sihat, bulu gebu, lincah bermain tapi kita tak tahu apa akan jadi padanya keesokan hari. Jika kamu bela kucing dalam jumlah yang banyak macam saya, rumah kamu memang akan berbau. Kalau musim hujan, bilik air akan penuh dengan najis dia sebab kucing ni tak boleh keluar rumah untuk buang air besar/kecil. Saya tak kurung kucing saya dalam sangkar sebab dia akan jadi liar. Cuba anda yang kena kurung, suka ke? Jika kucing tu suka tidur atas sofa atau tilam, tak perlu risau yang dia akan buang air sebab kucing ni sebenarnya pembersih. Dia tak suka tempat tidurnya berbau busuk kecuali jika dia mengalami cirit-birit.

Bercakap dengan kucing juga merupakan terapi stress yang sangat baik. Kalau bercakap dengan orang, ada saja modal nak sindir kita atau mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati. Tapi kucing tak buat macam tu, sambil cakap-cakap boleh belai dia, peluk dia. Bermain dengan kucing juga satu senaman yang baik. Saya pernah ajar kucing saya main lawan lari, panjat pokok dan main 'hide and seek'. Akhir kata, sayangilah haiwan, layan mereka dengan baik. Haiwan itu juga makhluk Allah s.w.t dan mereka berhak mendapat kehidupan yang baik di bumi Allah yang kita kongsi bersama.

28 Jun, 2011

Tiada milik kita


Kau lihat
Yang baik yang maksiat
Kau dengar
Yang dusta yang benar
Kau sentuh
Yang halal yang haram
Kau bicara
Yang manis yang sandiwara

Kau megah
Cantiknya kamu bijaknya kamu
Kau hina
Fakir miskin yatim janda
Kau sombong
Puji dan puja hartamu melambung
Kau kikir
Bayar zakat kau seribu kali fikir

Sekelip mata kau hilang semua
Kau caci, marah kau kecewa
Pernah kau fikir kejadiannya?
Pernah kau fikir siapa yang kau murka?
Hak cipta terpelihara
Tiada yang milik kita

Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. (Al-Imran: 109)

26 Jun, 2011

Al-Quran: Hingga akhir hayat


Pejam celik pejam celik sudah 2 bulan rupanya saya bercuti di rumah. Gembira sangat sebab dapat luangkan masa bersama keluarga tanpa gangguan apa-apa aktiviti kolej seperti selalu. Daripada menjadi pekerja separuh masa, saya memilih untuk duduk di rumah saja. Tapi bukan goyang kaki macam dunia ni ana yang punya. Pada setiap hujung minggu saya mengikuti ibu, adik dan ibu saudara belajar mengaji Al-Quran dengan seorang ustazah, graduan lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir. Saya gunakan masa cuti ini kerana tak ada peluang untuk belajar Al-Quran di kampus dan kerana saya tak pasti jika saya akan dapat peluang seperti ini lagi atau saya masih sempat untuk belajar pada masa depan .

Jumlah kami semua tak sampai 10 orang. Keupayaan membaca pun lain-lain. Adik saya pelajar paling muda iaitu 19 tahun dan yang paling veteran ialah tok guru yang ajar saya mengaji masa zaman kanak-kanak dulu, umur dia dalam 60 tahun. Pada pendapat saya, belajar mengaji ini biarlah sehingga ke akhir hayat. Walaupun kita boleh membaca Al-Quran dengan lancar tetapi sebagai manusia biasa pasti ada kesalahan dalam bacaan tanpa kita sedar. Tambahan pula kami semua bukan pelajar sekolah aliran agama. Peluang ini kami gunakan sebaik mungkin untuk memperelok bacaan Al-Quran.

Selain memperbetul bacaan kami, ustazah juga mengajar hukum tajwid dan serba sedikit tentang fekah, tasawuf dan sebagainya. Bila dah menginjak dewasa ni, memang malu kalau nak belajar dengan ustaz. Alhamdulillah, kami berjumpa dengan ustazah. Bila kita belajar Al-Quran eloknya kita belajar terus dari guru, lihat gerak bibirnya. Lihat bagaimana dia menyebut perkataan-perkataan kalamullah. Sebab tu susah sikit kalau belajar dengan guru lelaki, takut timbul fitnah atau zina hati. Belajar membaca Al-Quran ni tak kira usia. Siapa kata budak-budak saja kena belajar baca Al-Quran? Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah kita kena belajar . Semoga pahala membaca Al-Quran dapat membantu kita di alam barzakh kelak. InsyaAllah.

Ada seorang lelaki yang saya kenal. Dia meninggal dunia ketika berusia 75 tahun. Dia hanya berpeluang belajar di sekolah melayu sehingga darjah 3. Dia tidak mendapat peluang meneruskan pelajaran disebabkan faktor kemiskinan dan menjadi mangsa kekejaman pihak penjajah Jepun ketika itu. Saya kagum dengan dia kerana dia sentiasa mencari guru untuk belajar. Dia berminat dengan apa jua bidang ilmu dan bila ada peluang untuk belajar, dia takkan lepaskan peluang itu. Walaupun dia menguasai bacaan Al-Quran, menjadi imam dan mengajar orang lain tetapi dia tidak malu untuk mengikuti kelas-kelas mengaji Al-Quran sehingga ke akhir hayatnya. Sebelum dia meninggal dunia, dia sempat mengajar beberapa orang anak muda di kawasan tempat tinggalnya mengenai cara-cara untuk menguruskan jenazah. Alhamdulillah, mereka jua yang membantu keluarga lelaki ini menguruskan jenazahnya sehingga ke liang lahad.

23 Jun, 2011

Alkisah di kampung (Bahagian 1)

Manggis

Anak: Umi, awat kat hutan tepi rumah kita banyak sangat pokok manggis? Dah macam dusun. Tok kata orang dulu-dulu tak tanam pun.

Mak: Orang dulu-dulu bila makan manggis, depa telan biji sekali. Lepas tu depa pi 'sungai besar' kat dalam hutan. Masa tu, tanam biji manggis sekali sebab biji tu keluaq sama-sama dengan ....

Anak: Euuu...manggis yang kita makan la ni??? (patut manis sangat buah tu)

Alkisahnya=> Pokok manggis susah nak hidup, kena semai dulu. Bila tanam biji dia kena terus letak baja.

Makan

Abah: Im, abah nak pi pasar malam nih. Im nak abah beli satay daging ka ayam?

Im: Ha...

Ayah: Apa yang ha? Abah tanya daging ka ayam?

Alkisahnya=> Tak faham soalan ka, tak fokus dengan soalan?

Order

Pelayan: Nak air apa dik?

Budak: Milo ais panas

Pelayan: Hah??

Alkisahnya=> Maksud dia milo suam.

Melawak a.k.a gurau

Adik-beradik tengah melawak. Bising, bergegar rumah macam kena gempa bumi.

Tok: Ni awat yang gatai sangat. Dok melawak2 sat lagi jadi bunga taik.

Kakak: Along bunga, kak cik taik.

Adik: Mana ada, kak cik la bunga...along la taik

Alkisahnya=>Bunga taik maksudnya gaduh. Dua orang budak tu tengah loyar buruk dengan tok depa.

Pening kepala dengan gelagat ahli keluarga. But I'm happy.

18 Jun, 2011

Lirik Jalan sehala



Tuhanku Maha Pengasih
Tuhanku Maha Penyayang
sebelum pun sempat tangisku
jatuh ke bumi
rahmatNya menyambut[segera]

membisik bujukan penawar bersakti
apa lagi nak ku gusar
cinta Nya tak pernah gagal
hadir di kala ku sepi di kala ku bersedih

aku hanya berpegang janji
janji Nya kesungguhan yang pasti
pintu kemenangan
lorong bercahaya
langkah untukku pulang
jalan sehala

aduhai ibuku yang satu
janganlah ada barang ragu
biarpun seberkas dalam hati
andaiku terkorban nanti
sedang meniti kasih

Kau kata kau sayang ibu ayah



Kau kata kau sayang ibu ayah
Kenapa kerana ajnabi kau goyah
Nasihat ibu kau dengar payah
Larangan ayah sanggup kau terjah

Kau kata kau sayang ibu ayah
Kenapa kerana kasih kau biar dijajah
Relakan semua bagai diri tak bermaruah
Hati ibu ayah kau sendiri yang lapah

Kau kata kau sayang ibu ayah
Kenapa kerana cinta si fulan kau rebah
Tiada nilai air mata ibu yang tumpah
Ditegur ayah kau tenggelam dalam amarah

Kau kata kau sayang ibu ayah
Sedarlah wahai muslimin dan muslimah
Redha Allah yang Maha Pemurah
Terletak pada redha ibu ayah

13 Jun, 2011

Tudung: Nampak 'sweet' je



Budak sekolah perempuan darjah 1 pun tahu pakai tudung. Engkau? Pelajar kolej? Pelajar universiti? CEO? Pelakon? Adakah gaji kau yang beribu-ribu itu tidak mampu membeli sehelai tudung? Hakikatnya, budak darjah 1 itu lebih mulia di sisi agama berbanding engkau. Fikir, dan muhasabah. Tolong."p/s:beliau tlh mnjlnkn tnggungjwb sbg seorng saudra islam.anda bila lg??;)

Mesej di atas ialah info yang disiarkan di Facebook kawan saya. Mesejnya baik cuma struktur ayatnya agak kasar. Tak kisah la. Bagi yang bertudung tak rasa apa-apa la, bagi yang tidak mungkin agak marah dan tersinggung. Namun bukan soal hati yang hendak dibicarakan di sini tapi lebih kepada perintah Allah s.w.t yang telah ditetapkan ke atas muslimah yang beriman. Hakikatnya, betul atau tidak apa yang diperkatakan oleh pencipta ayat ni?

Jika tidak, apa ulasan anda? Jika ya, kenapa perlu marah? Perintah bertudung bukan ciptaan nabi, rasul atau guru agama. Ianya sudah lama termaktub dalam Al-Quran yang menjadi sumber rujukan utama bagi umat Islam.

"Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putra-putra mereka atau putra-putra suami mereka atau saudara lelaki mereka atau putra-putra saudara lelaki mereka atau putra-putra saudara perempuan mereka atau perempuan(sesama Islam) mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki atau para pelayan laki-laki(tua) yang tidak mempunyai keinginan kepada perempuan atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung."(Surah An-Nuur ayat 31)

Sewaktu saya di tadika dan sekolah rendah, saya bertudung bukan kerana Allah s.w.t. Saya bertudung kerana mak saya suruh dan malu sebab kawan-kawan semua bertudung. Tapi bila saya ke kelas fardhu ain dan kelas bimbingan agama, ustazah saya menceritakan tentang azab seksa neraka kepada mereka yang melanggar perintah Allah, saya belajar tentang makna ayat Quran .Saya sedar dosa saya terlalu banyak, yang sengaja, yang tak sengaja, yang saya tahu dan mungkin yang saya tak tahu. Lama kelamaan saya boleh menerima perintah Allah dengan hati yang terbuka walaupun pada mulanya saya bertudung kerana terpaksa.

Kepada anda yang tak bertudung, untuk langkah pertama paksa diri anda bertudung. Orang kata " Tunggu sampai seru baru nak pakai." Seru apa? Seru malaikat maut nak cabut nyawa? Biar la orang nak kata kita nampak tua ka, tak tahu berfesyen ka, hipokrit atau orang zaman batu ka.....Pandangan siapa yang lebih utama? Manusia atau Allah s.w.t?

11 Jun, 2011

Tetamu: Makananmu dicatu



Orang kata, "Tetamu datang rumah bawa rezeki." Justeru dalam Islam pun ditekankan supaya kita menghormati tetamu, melayaninya dengan baik dan menjamu mereka dengan makanan. Akhlak dan adab dalam menerima tetamu pun banyak ditonjolkan melalui kisah para rasul. Contohnya dalam kisah Nabi Ibrahim dan malaikat yang ditugaskan untuk menghancurkan kaum Nabi Lut (kaum yang mengamalkan homoseksual, gay). Apabila malaikat tiba di rumah Nabi Ibrahim a.s lantas baginda menyembelih haiwan ternakan (tak ingat la kibas ke kambing) untuk dijamu kepada tetamunya. Ketika ini baginda belum tahu tetamu itu ialah malaikat.

Bagaimana jika anda ke rumah seseorang kemudian dicatu makanan? Seseorang itu pula ialah kaum kerabat yang kuat tali persaudaraannya dengan anda. Anda ditegur supaya tidak menghabiskan makanan yang dihidang. Saya pernah merasainya dan saya tawar hati ingin berkunjung ke rumahnya. Namun disebabkan dia ialah kaum kerabat, kadangkala saya pergi juga. Dari sini saya mendapat pengajaran, bila saja ada tetamu berkunjung ke rumah atau menginap di rumah, pastikan stok makanan di rumah cukup. Jika anda kurang berkemampuan sekali pun, usahakan untuk menjamu makanan walaupun sekadar biskut atau buah. Mak kata "tak elok tegur orang yang sedang makan begitu apatah lagi kepada ahli keluarga dan tetamu."

Kesimpulannya, hormati tetamu anda dan jamu mereka dengan makanan secukupnya agar mereka rasa senang untuk berkunjung ke rumah kita kerana dengan kunjung mengunjungi itu dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Jika anda bersikap acuh tak acuh, mencatu makanan untuk tetamu dan berkelakuan tidak sopan terhadap tetamu, harta setinggi gunung atau rumah seindah istana pun 'confirm' tak ada siapa yang sudi bertandang. Memang kena 'black list'.

p/s: Buat tuan rumah yg suka catu makanan, tetamu/kaum kerabat bukan peminta sedekah.

10 Jun, 2011

Sami Yusuf - Make Me Strong with lyrics - سامي يوسف - اجعلني قويا



Bila ku pinta kuat
Kepayahan mencengkam erat
Lumrah insani yang gopoh
Dihentam keras biar teguh
Kerna cinta pada yang Maha Esa
Cinta hakiki yang mulia

08 Jun, 2011

Lirik Terbang Tinggi -Yasin



Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya?

Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki
Cuba mendaki sejauh lelangit yang tinggi
Seperti mereka yang telah merasa
Terbang tinggi apa pengertiannya

Hidupnya bagaikan insan yang asing
Si musafir berkelana di bumi yang lain
Tiada bermegah tidak terlalu lemah
Sebaik perkara yang sederhana

Kau takkan hidup dengan pujian manusia
Atau mati dengan cacian mereka
Pengertian hidup bukanlah apa yang kau sangka

Jangan kesal jangan sesal dengan siapa sebenarnya kita
Dan terbang tinggi di langit yang luas
Terima dirimu seadanya

Jangan caci pada si dia yang hina
Jangan benci pada yang tak mengertinya
Kasihanilah dia yang tak menghayatinya
Jangan takut kiranya kau berbeza

Perbezaannya kita ilmu dan sikap
Mungkin kelak kau akan mengertinya
Pengertian hidup bukan apa yang kau sangka

Jangan sesal jangan kesal
Jangan kesal jangan sesal
Terima dirimu seadanya
Dan terbang tinggi dilangit yg luas

06 Jun, 2011

Young mommy



What do you feel when you are struggling with your assignments, tortured by tutors and lecturers but suddenly you know that your friend was married and getting a baby? For me, I am very excited for knowing that my friend already became a mommy. Alhamdulillah. She may not have chance to further studies but Allah s.w.t bless her with a child. Furthermore, recently we hear too many cases of adultery, killing those innocent unwanted babies...and etc. At least, my friend already rescued herself from all these things. Others and I who are single? We are still in danger. Today we may be pious but we don't know if we might change tomorrow. We were born as muslim but we never know either we succeed to end our life with syahadah.

Young bride, there are pro and cons. Most important you have to be ready to carry the commitment either as husband or wife, father or mother. Having a family is about two soul become one, together raising up next generation to become successful in the world and hereafter. It is not an easy task.

03 Jun, 2011

Animals: Mommy and baby

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita disajikan dengan berita-berita yang menyedihkan tentang pembuangan bayi.Lebih memilukan, bayi yang saya perkatakan bukan bayi monyet, kucing, anjing atau mana-mana haiwan tetapi mereka ialah bayi makhluk Allah s.w.t yang bergelar Homo sapiens. Bayi-bayi berkenaan dibuang, dibakar atau ditanam hidup-hidup, tak kira lelaki atau perempuan. Walaupun kita sama spesies dengan ibu bayi berkenaan tetapi saya pasti ramai tidak dapat menerima tindakan mereka ini yang di luar batas pemikiran normal, bagaimana seorang ibu sanggup memperlakukan anaknya sedemikian rupa, kan?

Entri kali ini saya nak kongsi tentang gambar-gambar antara ibu dan bayi haiwan. Lihat dan renungilah kasih sayang yang Allah s.w.t cipta dalam kalangan haiwan mungkin ada iktibar yang dapat kita ambil:

1. Gambar kucing-kucing saya











2. Lain-lain