26 Jun, 2011

Al-Quran: Hingga akhir hayat


Pejam celik pejam celik sudah 2 bulan rupanya saya bercuti di rumah. Gembira sangat sebab dapat luangkan masa bersama keluarga tanpa gangguan apa-apa aktiviti kolej seperti selalu. Daripada menjadi pekerja separuh masa, saya memilih untuk duduk di rumah saja. Tapi bukan goyang kaki macam dunia ni ana yang punya. Pada setiap hujung minggu saya mengikuti ibu, adik dan ibu saudara belajar mengaji Al-Quran dengan seorang ustazah, graduan lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir. Saya gunakan masa cuti ini kerana tak ada peluang untuk belajar Al-Quran di kampus dan kerana saya tak pasti jika saya akan dapat peluang seperti ini lagi atau saya masih sempat untuk belajar pada masa depan .

Jumlah kami semua tak sampai 10 orang. Keupayaan membaca pun lain-lain. Adik saya pelajar paling muda iaitu 19 tahun dan yang paling veteran ialah tok guru yang ajar saya mengaji masa zaman kanak-kanak dulu, umur dia dalam 60 tahun. Pada pendapat saya, belajar mengaji ini biarlah sehingga ke akhir hayat. Walaupun kita boleh membaca Al-Quran dengan lancar tetapi sebagai manusia biasa pasti ada kesalahan dalam bacaan tanpa kita sedar. Tambahan pula kami semua bukan pelajar sekolah aliran agama. Peluang ini kami gunakan sebaik mungkin untuk memperelok bacaan Al-Quran.

Selain memperbetul bacaan kami, ustazah juga mengajar hukum tajwid dan serba sedikit tentang fekah, tasawuf dan sebagainya. Bila dah menginjak dewasa ni, memang malu kalau nak belajar dengan ustaz. Alhamdulillah, kami berjumpa dengan ustazah. Bila kita belajar Al-Quran eloknya kita belajar terus dari guru, lihat gerak bibirnya. Lihat bagaimana dia menyebut perkataan-perkataan kalamullah. Sebab tu susah sikit kalau belajar dengan guru lelaki, takut timbul fitnah atau zina hati. Belajar membaca Al-Quran ni tak kira usia. Siapa kata budak-budak saja kena belajar baca Al-Quran? Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah kita kena belajar . Semoga pahala membaca Al-Quran dapat membantu kita di alam barzakh kelak. InsyaAllah.

Ada seorang lelaki yang saya kenal. Dia meninggal dunia ketika berusia 75 tahun. Dia hanya berpeluang belajar di sekolah melayu sehingga darjah 3. Dia tidak mendapat peluang meneruskan pelajaran disebabkan faktor kemiskinan dan menjadi mangsa kekejaman pihak penjajah Jepun ketika itu. Saya kagum dengan dia kerana dia sentiasa mencari guru untuk belajar. Dia berminat dengan apa jua bidang ilmu dan bila ada peluang untuk belajar, dia takkan lepaskan peluang itu. Walaupun dia menguasai bacaan Al-Quran, menjadi imam dan mengajar orang lain tetapi dia tidak malu untuk mengikuti kelas-kelas mengaji Al-Quran sehingga ke akhir hayatnya. Sebelum dia meninggal dunia, dia sempat mengajar beberapa orang anak muda di kawasan tempat tinggalnya mengenai cara-cara untuk menguruskan jenazah. Alhamdulillah, mereka jua yang membantu keluarga lelaki ini menguruskan jenazahnya sehingga ke liang lahad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan