08 Julai, 2011

Sebaik-baik cinta

Seorang lelaki meninggal dunia dengan meninggalkan seorang balu dan 3 anak yang masih kecil. Tidak banyak harta yang ditinggalkan. Hanya sedikit wang simpanan, sebuah rumah yang masih dalam pembinaan dan sebuah kereta lama. Wanita muda yang baru kematian suami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bagaimana ingin menyara anak yang masih kecil sendirian dengan gaji yang tidak seberapa, bagaimana nak uruskan pembahagian harta dan sebagainya. Semua perkara bercelaru di fikiran lantas meminta tolong saudara mara dan ipar duai. Dalam ramai yang bersimpati, ada juga yang iri hati. Ditakuti wanita itu akan merampas suami mereka. Hah.. mentaliti kelas ketiga.

Wanita: (Sendirian) Dia menangis tapi bangun kembali. 3 orang anak kini di bawah tanggungjawabnya. Anak-anak perlu dididik sebaik mungkin tanpa suami di sisi. Usah risau, Allah tetap ada.

Anak 1: Aku anak sulung. Aku perlu kuat. Tak boleh nangis. Kalau aku sedih, mak dengan adik lagi sedih. Abah pesan, aku kena jaga adik-adik.

Anak 2: Aku anak lelaki, yang lain perempuan. Aku kena jaga mereka baik-baik.

Anak 3: Aku mesti belajar rajin-rajin. Jadi orang yang berguna. Adik beradik abah ada yang sakit, tak kahwin. Tok dah tua. Siapa nak jaga kalau bukan aku?

Persamaan keempat-empat orang di atas ialah setiap individu memikirkan tanggungjawab, ketepikan rasa sedih demi kebahagiaan yang lain. Cinta bukan sekadar ucapan I Love You, menghujani kasih dengan harta benda atau memadu kasih asmara. Ianya lebih kepada rasa ingin bertanggungjawab terhadap seseorang. Sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan atas tanggungjawab. Seseorang yang hatinya subur dengan cinta yang diredhai Allah, insyaAllah dia tidak akan mencari cinta lain yang dimurkai Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan