10 Januari, 2010

Serangan sakit jantung

Sering kali kita disajikan dengan drama-drama di kaca televisyen bahawa individu yang kaya raya sering kali menghidap serangan sakit jantung. Sejauh mana kebenaran ini jika dilihat dalam dunia realiti? Pertama sekali, biar saya terangkan apa yang dimaksudkan sebagai serangan sakit jantung. Penyakit ini ialah disebabkan oleh sekatan yang berlaku dalam saluran koronari. Salur darah koronari ialah salur darah yang berada pada tisu-tisu otot jantung untuk membekalkan nutrien yang diperlukan oleh sel-sel otot jantung.Hal ini bagi memastikan bahawa jantung kita dapat mengepam darah ke seluruh tubuh badan dan ke peparu.

Terdapat banyak sebab salur darah koronari ini boleh tersumbat. Contoh yang paling biasa kita dengar ialah pembentukan gumpalan lemak di dalam salur darah ini. Apabila lemak bergumpal, secara langsung ia akan mengecilkan diameter salur darah koronari. Secara logiknya, sudah tentu sel-sel darah sukar untuk melalui bahagian tersebut. Tambahan pula sel darah merah yang berperanan untuk membekalkan oksigen pada sel-sel otot jantung tidak dapat melaksanakan tugasnya. Justeru, sel-sel otot jantung kekurangan bekalan oksigen sehingga tidak dapat menjalankan aktiviti metabolisme dan jika keadaan ini berterusan, sel-sel tersebut akan mati.

Pada otot-otot jantung terdapat fiber-fiber yang elastik bagi membolehkan kontraksi berlaku namun apabila sel-sel ini mati, ianya akan digantikan dengan tisu-tisu yang kaku dan tidak elastik. Keadaan adalah lebih teruk jika hal ini berlaku pada bahagian ventrikel kiri(bahagian bawah jantung di sebelah kiri) yang mengepam darah ke seluruh tubuh badan.

Kenapa warga tua berpotensi tinggi untuk mendapat serangan sakit jantung? Satu soalan yang baik. Hal ini kerana apabila kita semakin tua, keupayaan tisu-tisu lemak untuk membentuk sel-sel lemak menjadi semakin cekap. Oleh itu, sangat penting bagi kita untuk mengawal diet pemakanan seharian, banyakkan bersenam dan elakkan mengambil makanan berlemak melebihi kuantiti yang dibenarkan. Bagi warga tua, sangat dianjurkan bagi mereka untuk bersenam mengikut kemampuan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan