14 September, 2014

Kembara Zikir 1: Dari lensa gelandangan


Bila kita berada jauh di perantauan, jauh dari keluarga, secara automatik kita akan cenderung untuk menjadi pengembara di bumi kita berpijak. Sempena cuti ulangtahun Hari Kemerdekaan yang lepas, saya bercadang untuk melawat saudara di Kuala Lipis. Ada 2 jalan iaitu sama ada dengan menaiki bas atau keretapi. Sepanjang pencarian saya, hanya ada 1 bas yang bertolak dari Kota Bharu ke Kuala Lipis iaitu pada pukul 8.30 malam. Untuk keretapi pula, KTM Senandung Wau & Senandung Timuran. Kedua-dua pengangkutan ini bertolak pada waktu malam. Walaupun agak lambat untuk sampai ke destinasi dengan menaiki keretapi tapi bagi saya ianya lebih selesa dan murah. Tiket keretapi untuk tempat tidur bahagian atas ialah RM 29 berbanding tiket bas yang berharga RM 36. Maka untuk kali ini, keretapi menjadi pilihan.

Dari Kubang Kerian, saya bertolak ke Stesen Keretapi Wakaf Bharu. Stesen ini yang paling dekat pun. Tambang teksi dari sini sehingga ke stesen ialah RM 25. Keretapi yang saya naik sampai tepat pada pukul 6.50 petang. Naik saja keretapi, terus panjat katil. Haha...boleh tahan la tempat tidur. Terfikir lepas ni kalau nak ke Kuala Lumpur, kalau tiket flight mahal kemungkinan besar keretapi akan menjadi pilihan alternatif. Kebanyakan penumpang turun di Kuala Lumpur, jadi masa dah dekat dengan Kuala Lipis, ticket collector tolong ingatkan. Mungkin takut kita terlajak tidur. 

Saya sampai di Stesen Kuala Lipis pada pukul 1.30 pagi. Memang kerja gila la kali ni. Mana nak sambung tidur? Pijak saja lantai stesen, saya lihat, " Woo...klasik gila stesen ni." Nampak sangat bangunan bersejarah. Rekabentuk bangunan stesen memang lama. Kepala didongak ke sana sini sambil kaki melangkah ke pintu keluar. Hajatnya nak cari surau untuk solat. Sampai saja di pintu keluar, ramainya orang yang tidur di kaki lima. Okayy...agak terkejut juga. Kebanyakan mereka adalah daripada kalangan warga emas. Ada yang bawa beg guni, ada yang bawa bakul berisi hasil hutan seperti dalam gambar di atas. Sorang mak cik tengah tidur dengan bakul berisi petai. 

Surau di stesen ini pula tiada tempat wudhuk khas untuk bahagian lelaki dan perempuan. Cuma ada 2 kepala paip di bahagian luar surau. Susah juga la bagi saya yang perempuan ni untuk ambil wudhuk. Mujur waktu tu pagi buta, gelap. Tak ramai sangat orang lalu lalang. Selepas solat, saya keluar ke bahagian terminal. Mulanya saja nak tengok keadaan pada waktu malam di stesen. Saya bukan kutu rayau tapi masa ni dah takda pilihan. Saudara saya akan jemput selepas Subuh. Nak check in hotel, oh...tak mampu. Nak kata bahaya, ehmm..tak sangat la sebab sepanjang saya di situ memang ramai juga orang. Kedai makan pun masih dibuka. Cuma pesanan penaja untuk girls, jaga diri dan doa supaya takda la jadi benda-benda tak elok. Dalam pukul 3, mata dah tak tahan nak lelap. Kalau saya laki, dah lama baring kat kerusi panjang terminal. Tapi sedar diri ni perempuan, saya balik la ke surau tadi.

Masuk ja dalam surau, ada 2 orang mak cik tengah tidur. Pertama kali dalam hidup saya tidur berlantaikan marmar, berbantalkan kain batik & tanpa selimut. Mujur dalam surau malam tu, tak terlalu sejuk. Boleh la tahan. Serius rasa macam gelandangan. Kadang-kadang tengah sedap baring tiba-tiba nyamuk datang menyanyi kat telinga. Adoi la... Dalam hati saya bisik, takpa la. Dah lama sangat aku tidur lena jadi Allah bagi peluang malam ni untuk rasa macam mana jadi gelandangan. Sekali sekala tidur di lantai baru sedar, bersyukurlah dengan tilam yang ada selama ini. Sekali sekala tidur kena gigit nyamuk, bersabarlah. Jangan terlalu cepat naik darah kerana hal yang kecil.

Tepat pukul 5.30 pagi, saya bangun untuk mengambil wudhuk bagi solat Subuh. Mak cik yang tidur di surau tadi pun bangun dan kami sama-sama tunggu azan subuh berkumandang. Saya tersenyum. Mak cik yang jadi gelandangan tu mungkin nampak hina di mata sesetengah orang tapi dia masih ingat untuk bangun menghadap Tuhan tatkala ramai insan lain yang cukup serba-serbi masih enak dibuai mimpi. Siapa yang suka jadi gelandangan? Kita semua nak tempat tidur yang selesa, rumah yang besar dan cukup segala-galanya tapi adakalanya kita diuji dengan sedikit kesusahan. Untuk mengajar kita erti bersyukur, booster untuk usaha lebih gigih. Tak kira macam mana susah pun hidup, jangan pernah berputus asa dari rahmatNya. Kedua-dua belah tangan yang masih mampu mengangkat beban digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencari rezeki yang halal daripada menadah tangan meminta-minta pada yang lain selain Dia.

" Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah 155-156)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan