11 November, 2015

'Kawan'



Kawan. Ehmm... ada kawan yang berada di sisi tatkala susah atau senang. Ada kawan yang nampak kita waktu dia susah sahaja. Ada kawan yang menemani kita di kala senang sahaja. Macam-macam perangai manusia, macam-macam jenis kawan juga yang kita ada. Kita pun kena muhasabah diri kita juga. Adakah kita seorang kawan yang baik? Adakah kita sentiasa berada di sisi mereka yang memerlukan pertolongan? Adakah kita sentiasa ikhlas membantu tanpa mengharapkan balasan?

Semasa kecil dahulu, ibu saudara selalu kata, " Kita buat baik, semua orang suka. Kalau kita jahat, tak ada orang nak kawan."

Setelah beberapa puluh tahun hidup, berkawan dengan manusia daripada pelbagai latar belakang, saya balik kampung dan beritahu ibu saudara saya, " Mak lang, tak semua orang suka kita jadi baik."

"Saya segan nak kawan dengan awak sebab awak baik sangat."
"Saya tak boleh nak rapat dengan awak sebab awak pandai sangat."

Huh?!

Serius saya tak faham. Saya cuba bertanya kepada rakan lain dan dia pun tidak dapat memahami apakah yang tersembunyi di sebalik kata-kata itu. Kami berdua sepakat pada pendapat, "Eh, patutnya kita gembira la bila dapat kawan yang baik kan? Patutnya kita bersyukur bila dapat kawan yang tak ajak kita ke arah kemungkaran, berbuat jahat kan? Patutnya kita suka bila tengok kawan kita senang kan? Kita gembira ke kalau tengok kawan kita dalam keadaan susah?"

Sambungan dari dialog dengan ibu saudara saya, dia kata, "Orang macam tu tak boleh jadi kawan. Biarkan dia pergi & kita teruskan hidup, buat baik kepada orang lain."

Rakan saya yang lain pula kata, "Orang macam tu ada penyakit dengki yang mungkin dia sendiri tak sedar. Tinggalkan dia sebab orang macam tu takkan bahagia bila tengok kawan dia gembira."

Kata saya pula, kawan itu datangnya tak diundang, perginya juga tak dihalau. Cukuplah setakat itu sahaja kawan, selepas ini biarlah sekadar kenalan sahaja. Cukuplah sekali dia sakitkan hati kita. Buat baik berpada-pada, jangan sampai diri kita dipergunakan oleh orang lain. Jangan kita terlalu lama terperangkap pada rasa marah atau sakit hati. Jika tidak, kita takkan boleh nak teruskan hidup dengan baik. Maafkan dan pergi.

Dunia ini memang tempat kita untuk terluka dan sengaja dilukai. Ibarat musafir dalam sebuah perjalanan, kadang-kadang kita bertemu orang yang baik, kadang-kadang berjumpa dengan penyangak, pencuri. Kadang-kadang kita bahagia melihat keindahan alam pada tempat kita singgah, kadang-kadang kita menjadi mangsa bencana alam yang membuatkan kita kehilangan harta benda, disakiti dan sebagainya. Destinasi abadi bukan di sini.

Apa kata anda? Saya sangat mengalu-alukan pendapat/komen anda. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan