28 Februari, 2016

Integriti

Sejak habis kerja makmal, saya dah mula mencari kerja. Macam-macam jawatan yang saya mohon. Bila orang tanya, nak kerja mana? Saya cakap, saya tak kisah. Campak la saya ke mana pun, insyaAllah saya boleh hidup. Namun, sampai sekarang saya belum menerima sebarang maklum balas. Mungkin juga sebab saya ada beritahu yang saya masih belajar & dalam proses untuk menyiapkan tesis. Pelbagai pendapat yang saya dengar. Ada orang kata jangan beritahu pasal tengah belajar, ada yang kata perlu beritahu sebab nanti menyusahkan bakal majikan. Tapi saya pilih untuk ikut pendapat kedua. Pada fikiran saya, lebih baik saya jujur dengan keadaan diri saya. Rezeki tu kan milik Allah jadi, kita usaha la ikut jalan yang Allah redha. 

Hari ni saya baca status seorang kawan yang merupakan seorang kakitangan awam. Dia kata senarai calon untuk sesuatu jawatan di sebuah universiti sudah ada sedangkan iklan jawatan kosong belum dibuka. Sebelum ni saya ada juga dengar orang kata, kadang tu ada pihak sengaja buat iklan tapi sebenarnya mereka dah ada pilihan. Sekarang baru saya tahu akan kebenarannya. Hmmm... This is about integrity, guys.

Saya cakap pada ibu saya, saya ada sebab melanjutkan pengajian dalam bidang ini. Niat saya itu adalah urusan antara saya dan Allah. Perkara yang terjadi sekarang merupakan salah satu ujian dari Dia untuk menguji keikhlasan saya dalam menuntut ilmu dan menguji tahap integriti yang ada pada diri saya. Saya tahu. Saya mengaku memang perit untuk menghadapi keadaan ini. Tambahan pula dengan kutukan & kritikan orang sekeliling, 

"Belajar tinggi-tinggi lepas tu menganggur."

Saya sambung belajar pun orang panggil menganggur. 

Ada pihak yang berbincang sesama sendiri untuk cuba syorkan mana-mana jawatan kosong dalam sektor k******n pada saya tapi saya tak nak. Saya sentiasa berdoa supaya walau betapa susah pun keadaan saya, saya mohon Allah jauhkan diri ini daripada menggunakan jalan yang tidak betul. Seseorang pernah tawarkan diri untuk tolong saya dapatkan peluang sambung belajar dalam bidang farmasi tapi saya diam saja. Saya nak usaha sendiri. Saya nak dipilih disebabkan kelayakan saya, bukan atas dasar saya ni disyorkan oleh mana-mana pihak. Saya nak dari permulaan hingga ke hembusan nafas terakhir, saya lakukan sesuatu itu dengan penuh integriti.

Apa itu integriti?

Integriti menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kejujuran/ketulusan, menjaga nama baik daripada sebarang bentuk penyelewengan. 

Jangan kata seleweng, hampir kepada perkara yang seleweng atau perbuatan yang boleh disalah erti sebagai seleweng pun janganlah kita mendekatkan diri. Zaman ini memang zaman yang sukar untuk kita buat perkara betul. Kalau kita harapkan balasan dunia, memang kita akan jadi lemah. Tapi kalau kita ingat pada janji Allah di akhirat kelak, kita akan ada kekuatan untuk berpegang pada perkara yang benar walaupun kita terasa sakit seperti menggenggam bara api. 

Akhir sekali, sebagai peringatan untuk kita semua, susah macam mana pun kita, sejauh mana terhimpit atau tertekan pun kita, mohonlah kekuatan dari-Nya supaya kita sentiasa terarah untuk melakukan perkara yang benar dan sentiasa sabar dalam kesempitan seperti dalam firman-Nya:

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah, 2: 177)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan