20 Ogos, 2011

Lelaki vs Perempuan: Kenapa perlu 'double standard'?


Hanya kerana saya seorang perempuan saya tak boleh buat itu dan ini. Saya dilarang panjat pokok, saya tak boleh belajar bergusti, tak boleh main polis2 tapi dalam diam saya buat juga. Terima kasih kepada datuk saya yang tak pernah bezakan saya dan adik lelaki. Dia yang ajar saya untuk jadi tahan lasak dan berani. Datuk kata," Wan tak kira cucu wan laki atau pompuan, semua kena pandai buat kerja. Kena pandai berdikari. Jangan terlalu harapkan bantuan orang."

Hanya kerana saya perempuan, permohonan untuk ke sekolah menengah agama ditolak. Ustaz tu kata, " Kalau budak perempuan dapat 2A3B dalam UPSR, jangan harap nak dapat masuk sekolah agama walaupun dapat 'highest marks' dalam ujian kelayakan." Pada ketika itu, saya rasa benci dilahirkan sebagai seorang perempuan. Saya fikir nasib saya mungkin lebih baik jika saya ialah seorang lelaki. Terima kasih ustaz. Disebabkan kata-kata ustaz, saya terjun ke dalam bidang sains. Tujuan saya nak dalami bidang AL-Quran dan Hadis ialah untuk kenal siapa Tuhan saya. Saya tak nak hanya bergelar muslim disebabkan saya dilahirkan dalam keluarga muslim. Sekarang, melalui sains pun saya boleh kenal Dia. Maha Bijaksana Dia yang menciptakan otak, yang menciptakan segala sistem saraf dan motor sehingga saya boleh menaip papan kekunci ini.

Hanya kerana saya seorang perempuan, saya tak pernah diberi kepercayaan penuh sebagai pemandu. Walaupun saya memandu dengan baik, ada saja yang tak kena. Saya kata," Kalau nak naik kereta ni, jangan bising. " Agak kasar kan kata-kata saya? Maaf tapi anda yang buat saya jadi kasar. Saya benci orang bising dan pertikaikan keupayaan saya dalam menjalankan tugas hanya kerana saya seorang perempuan. Kalau saya tak tahu saya akan tanya, kalau saya tak yakin saya takkan mulakan kerja tu.

Lelaki dan perempuan saling memerlukan. Lelaki dan perempuan masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Lelaki dan perempuan Allah ciptakan untuk menyembah-Nya. Lelaki dan perempuan ada tugas sesuai dengan fitrah kejadiannya. Lelaki dan perempuan yang beriman, insyaAllah syurga layak bagi mereka. Sebagai hamba-Nya, kita TAK LAYAK nak letak 'double standard' terhadap sesiapa. Baik lelaki atau perempuan, baik si hitam manis atau si putih gebu, baik yang berjawatan tinggi atau rendah, baik yang normal atau orang kelainan upaya (OKU). Bersyukur dengan diri yang diciptakan, usaha sehabis baik untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Waallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan