19 Oktober, 2013

Terbang


Budak-budak kampung, bila tengok kapal terbang lalu mesti teruja. Beria-ria melambai macamlah orang yang dalam kapal terbang tu boleh nampak. Saja seronok. Bila diteliti gerakan kapal terbang, rasanya sesuai digunakan sebagai analogi jalan hidup sesetengah orang. Nak tau macam mana? Begini kisahnya.

Bermula dari masa menghidupkan enjin, cuba kita tengok, kapal terbang memerlukan masa yang lebih lama kan berbanding kereta? Bagi menghidupkan enjin kereta, paling lama pun cuma ambil masa dalam 5 minit pada waktu pagi. Lepas tu, kereta dah boleh dipandu pecut di atas jalan raya. Berbeza dengan kapal terbang, enjinnya perlu dipanaskan dengan lebih lama. Secara tepat berapa lama saya tak tahulah cuma yang saya lihat ada la dalam 20 minit. Lepas tu pula, kipas di bahagian sayap kiri diputar dan kemudiannya diikuti dengan kipas di bahagian sayap kanan. Gerakan kapal terbang pada permulaannnya pun agak lambat, bergerak berpusing ke sana sini, berhenti seketika sebelum ia berupaya menambahkan kelajuan untuk terbang tinggi dan pergi lebih jauh. 

Sama juga dengan kehidupan sesetengah orang. Gerakannya sangat lambat pada peringkat permulaan. Ramai di antara saintis dan pengkarya terkenal yang menghadapi kesukaran dalam pelajaran contohnya Albert Einstein, Bill Gates, Leonardo da Vinci. Autisme, disleksia & ADHD (hiperakif) adalah di antara kesukaran yang seringkali dihadapi oleh kanak-kanak di sekolah. Saya sendiri menghadapi masalah untuk menulis suatu ketika dahulu. Dicop sebagai lembap, bodoh dan kata-kata lain yang seumpamanya sudah menjadi perkara biasa. Bak kata pepatah dalam cerita KungFu Panda 2, " Your story may not have such a happy beginning but that doesn't make you who you are. It is the rest of your story, who you choose to be." Kita boleh pilih untuk percayakan kata-kata hinaan orang & terus kekal di takuk lama. Atau kita boleh percayakan diri sendiri & Tuhan bahawa Allah s.w.t tidak menciptakan orang yang bodoh. Setiap orang ada kelebihannya yang tersendiri. Dengan syarat kita perlu berusaha mencari apa peranan kita hidup di dunia ini.

Permulaan hidup sebagai pelajar sekolah yang menghadapi pelbagai kesukaran dalam pelajaran sedikit sebanyak menggugat ketenangan jiwa diri sendiri & ibu bapa. Namun percayalah, jika kita gigih berusaha, suatu hari nanti pasti kita akan menggenggam kejayaan, dengan izin Allah s.w.t. Kegagalan bukan dinilai ketika kita tersadung dek ujian dan jatuh tapi ianya dipanggil kegagalan jika kita berhenti bangkit semula sedangkan hayat masih dikandung badan. Kejayaan pula bukannya dinilai pada berapa gulung ijazah yang diperoleh tetapi ke mana tempat kita kembali, syurga atau neraka? Ada orang yang memang Allah s.w.t takdirkan untuk dia menghadapi cabaran yang kuat di peringkat permulaan hidup seperti gerakan kapal terbang yang berpusing ke sana sini dengan perlahan. 

Di satu ketika, apabila enjinnya sudah cukup panas untuk bergerak, ia dapat memecut dengan laju & terbang tinggi ke udara sehingga ia mencapai altitud yang dikehendaki. Iaitu di paras yang selesa untuk ia terbang dengan lebih jauh. Lebih pantas berbanding kereta yang memecut di atas lebuh raya. Namun, perlu dingatkan walau setinggi mana pun ia terbang, ada masanya apabila ia bertembung dengan awan, gerakannya akan menjadi sedikit goyang. Itu belum masuk hujan lebat, ribut petir, salji tebal dan macam-macam lagi bahaya yang ada di udara. Untuk terbang tinggi, langkah keselamatan yang diambil perlu lebih rapi agar tidak terus jatuh terhempas menyembah Bumi. Segala kesukaran, penderitaan dan kepayahan yang dihadapi dengan sabar sebenarnya menjadi kekuatan yang luar biasa bagi seseorang itu menghadapi cabaran pada hari esok. Ketabahan diri adalah mustahil untuk dibina dalam masa yang singkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan