08 Februari, 2016

Warna kulit


Sejak saya kecil lagi, saya selalu dikritik berkaitan dengan warna kulit. Saya dah biasa dengar orang kata saya tak cantik sebab warna kulit saya yang agak gelap berbanding ahli keluarga atau rakan-rakan perempuan lain. Walhal warna kulit saya sebenarnya tidaklah terlalu gelap. Intermediate. Cuma masa sekolah dulu, saya aktif bermain di luar, berkawad jadi kulit saya agak terbakar sikit. 

Masa kecil saya memang sedih la bila orang asyik kutuk tentang warna kulit saya. Saya tengok kawan kelas yang berkulit putih sangat ramai kawan. Yang kulit gelap macam saya ni, orang tak pandang pun. Ada masanya saya tertanya-tanya, kenapa Allah bagi saya warna kulit yang macam ni? Kenapa saya dilahirkan sebagai seorang perempuan? Kalau saya ni berkulit gelap tapi lahir sebagai lelaki, orang tak hina sangat. Bila hari-hari kena ejek, saya rasa hopeless. I start hating myself. Sampailah satu ketika saya baca tentang kisah 2 orang tokoh:

Bilal Bin Rabah & Luqman Al-Hakim.

Bilal Bin Rabah ialah muazzin pertama di dalam sejarah Islam. Muazzin itu ialah orang yang melaungkan azan apabila masuknya waktu solat fardhu. Apa pekerjaan Bilal? Apa jawatan dia sampai diangkat menjadi muazzin sebaik sahaja memeluk agama Islam? Bilal ialah seorang hamba abdi yang berkulit hitam. Pada pandangan ramai manusia ketika itu, Bilal ni tak berharga pun. Saya bandingkan keadaan dia dengan diri saya, jaauuhhh beza. Dia kulit hitam, saya kulit coklat. Dia hamba abdi, saya orang yang merdeka bukannya budak suruhan sesiapa. Tetapi adakah Bilal rasa hopeless macam saya? Tidak. Pinangannya pernah ditolak oleh seorang wanita kerana warna kulitnya yang gelap tetapi adakah kejadian ini merendahkan martabatnya sebagai muazzin? Tidak, malah dia menerima sokongan daripada Rasulullah s.a.w. 

Siapa pula Luqman Al-Hakim?

Luqman pun merupakan seorang lelaki yang berkulit hitam. Dia seorang yang bijaksana sehingga kata-kata nasihat kepada anaknya dinukilkan dalam Al-Quran. Rujuk Surah Luqman, surah yang ke-31 di dalam Al-Quran dan lihat bagaimana Luqman mengutarakan nasihat. 

Hadis Rasulullah s.a.w, riwayat Ahmad dan al-Baihaqi;

"Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas 'ajam (yang bukan arab), atau 'ajam ke atas arab atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan."

Kemudian, saya baca pula Surah Al-Hujurat, surah ke-49 ayat 11:

"Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan tersebut meyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."

Surah Ar-Rum, surah ke-30, ayat 22:

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan."

Bila saya belajar Sains, saya tahu tentang melanin iaitu pigmen yang menjadikan warna kulit kita gelap, saya bersyukur dengan warna kulit yang Allah bagi. Orang yang berkulit gelap mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat kanser kulit berbanding orang berkulit cerah. Tahu kenapa kebanyakan pelari pecut adalah orang yang berkulit hitam? Sebab orang yang berkulit hitam mempunyai keupayaan yang lebih tinggi dalam menghasilkan tenaga. Dari sudut kosmetik, kulit gelap mempunyai ciri glow semulajadi. Maaf, saya tak dapat nak sertakan rujukan saintifik di sini, mana pi nota kuliah ntah. Hehehe..

Apa yang saya nak cakap ialah kisah 2 orang tokoh, hadis Rasulullah s.a.w & ayat Quran yang saya sertakan itu mengubat hati saya yang terluka dengan kritikan/cemuhan orang mengenai warna kulit saya. Bukan Tuhan yang jahat kerana menciptakan kita yang berlainan bangsa & warna kulit tetapi manusialah yang jahat, yang mencipta diskriminasi berdasarkan perbezaan fizikal. 
 


 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan