08 Januari, 2014

Syahadah


Saya teringat pada satu soalan yang ditanyakan oleh seorang rakan bukan Islam. Disebabkan banyak kali juga saya terima soalan yang sama maka artikel ini ditaip untuk menerangkan secara ringkas tentang kalimah syahadah. Rakan saya lihat tulisan seperti dalam gambar di atas. 

Rakan  : Farhana, apa maksud tulisan tu?

Saya : Itu kalimah syahadah. Bacanya macam ni, Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. Maksudnya, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. 

Kalimah ini menjadi teras pegangan orang Islam iaitu hanya menyembah Allah, Tuhan yang Satu. Dia tidak ada anak dan tidak diperanakkan. Okay, maksud di sini, Allah s.w.t yang difahami & diimani oleh umat Islam ialah Allah itu Zat yang mencipta, mentadbir, menghidupkan dan mematikan semua yang ada di dunia ini. Dia saja yang Maha Berkuasa. Tak ada sekutu baginya iaitu tak ada dewa atau dewi yang tolong Dia dalam apa jua urusan. Kalau dalam agama lain, ada berhala/patung, ada tuhan yang pelbagai nama, berhala pula bermacam-macam bentuk. Tapi dalam Islam, Allah itu satu-satunya Tuhan yang disembah. Nak minta apa pun direct terus pada Dia melalui solat & doa. Nak minta ampun dosa ke, nak minta ditambah rezeki ke, nak minta lulus periksa ke, nak minta masuk syurga ke, semua tuju pada Allah s.w.t.

Allah wujud dengan sendirinya. Dia bukan macam manusia yang lahir hasil dari penyatuan sperma dan ovum. Allah itu juga tidak ada anak. Dia adalah Pencipta.  Dia menciptakan Adam dan Hawa secara langsung dan dari keduanya lahirlah generasi manusia sehingga ke hari ini. Tidak ada apa atau sesiapa pun yang setara/sama dengan Dia. Sesiapa pun dalam dunia ni, walau sejauh dan sehebat mana pun daya kreativiti kita dalam berimaginasi, kita takkan boleh bayang Allah tu rupanya macam mana. Adakah layak Pencipta disamakan kedudukan dengan benda yang diciptakan?

Nabi Muhammad atau Rasulullah s.a.w itu pesuruh Allah s.w.t. Maksudnya, Rasulullah s.a.w adalah rasul terakhir yang diutuskan untuk seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa dan negara. Umat Islam juga beriman pada Nabi Isa a.s. Umat Islam pun beriman pada Kitab Taurat, Zabur dan Injil. Tetapi, apabila Al-Quran diturunkan dan Rasulullah diutuskan untuk umat akhir zaman, semua syariat/ ajaran Rasul yang sebelumnya sudah terbatal secara automatik. Setiap rasul membawa syariat sesuai dengan keadaan zaman dan umatnya. Berlainan dengan Rasulullah s.a.w, syariat yang dibawanya sejak 1400 tahun yang lampau masih kekal hingga sekarang dan akan tetap kekal sehingga Hari Kiamat. Takkan ada perubahan yang berlaku. Solat 5 waktu setiap hari dari 1400 tahun dulu sampai sekarang pun umat Islam masih wajib solat 5 waktu sehari semalam. Tak ada tambah, tak ada kurang. Wajib puasa sebulan di bulan Ramadhan, dari dulu sampai sekarang umat Islam wajib puasa sebulan. Tak ada tawar menawar nak kurangkan hingga 21 hari ke, 14 hari ke, 7 hari ke. Kalau ada, tu namanya ajaran sesat.


Sekian saja dari saya. Wallahua'lam (hanya Allah yang lebih mengetahui).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan