15 Februari, 2016

Aku risau



Ada banyak perkara dalam dunia ni yang kita risau:

Pertama kali nak jejak kaki ke sekolah > risau tak ada kawan, risau dapat cikgu garang
Dapat result elok > risau nak sambung belajar kat mana
Dapat result tak elok > lagi risau sebab takut tak dapat tempat di institut pengajian tinggi
Habis belajar > risau tak dapat kerja
Dah dapat kerja > risau gaji tak cukup, risau kena marah dengan bos
Tak kahwin lagi > risau orang panggil anak dara tua
Dah kahwin > pun risau sebab tak dapat anak lagi, risau pasangan main kayu tiga empat
Dah dapat anak > risau jugaakk...kita kerja, siapa nak tolong mengasuh anak
Ada orang mengasuh anak > risau anak kena dera...........................

Kenapa risau?

Kita risau sebab kita terlalu memikirkan tentang apa yang akan jadi walhal perkara itu termasuk dalam hal yang ghaib. Hal yang kita tak tahu.  Kita risau lagi beberapa tahun dah nak masuk umur 30-an tapi tak kahwin lagi padahal kita sendiri tak pasti, adakah kita masih akan hidup sampai waktu tersebut?

Kita sedar tentang kebenaran ini tapi kita masih risau. Penawarnya?

1. Usaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik di sepanjang perjalanan hidup kita bagi mendapat keredhaan Allah s.w.t.
2. Ingat mati.

Bila kita rasa sakit dengan onak duri ranjau kehidupan, ingatlah jika Allah redha dengan hidup kita, takkan ada lagi kerisauan selepas bercerainya nyawa dari jasad. Usah dibiar kesusahan hidup di dunia menghilangkan fokus kita yang utama, misi kita yang diulang paling kurang 5 kali sehari semalam iaitu:

"Sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."  (Surah Al-An'am, 6: 162)

Adakah kerisauan ini normal?

Ya.

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah" (Surah Al-Ma'arij, 70:19)


Waallahua'lam.

08 Februari, 2016

Warna kulit


Sejak saya kecil lagi, saya selalu dikritik berkaitan dengan warna kulit. Saya dah biasa dengar orang kata saya tak cantik sebab warna kulit saya yang agak gelap berbanding ahli keluarga atau rakan-rakan perempuan lain. Walhal warna kulit saya sebenarnya tidaklah terlalu gelap. Intermediate. Cuma masa sekolah dulu, saya aktif bermain di luar, berkawad jadi kulit saya agak terbakar sikit. 

Masa kecil saya memang sedih la bila orang asyik kutuk tentang warna kulit saya. Saya tengok kawan kelas yang berkulit putih sangat ramai kawan. Yang kulit gelap macam saya ni, orang tak pandang pun. Ada masanya saya tertanya-tanya, kenapa Allah bagi saya warna kulit yang macam ni? Kenapa saya dilahirkan sebagai seorang perempuan? Kalau saya ni berkulit gelap tapi lahir sebagai lelaki, orang tak hina sangat. Bila hari-hari kena ejek, saya rasa hopeless. I start hating myself. Sampailah satu ketika saya baca tentang kisah 2 orang tokoh:

Bilal Bin Rabah & Luqman Al-Hakim.

Bilal Bin Rabah ialah muazzin pertama di dalam sejarah Islam. Muazzin itu ialah orang yang melaungkan azan apabila masuknya waktu solat fardhu. Apa pekerjaan Bilal? Apa jawatan dia sampai diangkat menjadi muazzin sebaik sahaja memeluk agama Islam? Bilal ialah seorang hamba abdi yang berkulit hitam. Pada pandangan ramai manusia ketika itu, Bilal ni tak berharga pun. Saya bandingkan keadaan dia dengan diri saya, jaauuhhh beza. Dia kulit hitam, saya kulit coklat. Dia hamba abdi, saya orang yang merdeka bukannya budak suruhan sesiapa. Tetapi adakah Bilal rasa hopeless macam saya? Tidak. Pinangannya pernah ditolak oleh seorang wanita kerana warna kulitnya yang gelap tetapi adakah kejadian ini merendahkan martabatnya sebagai muazzin? Tidak, malah dia menerima sokongan daripada Rasulullah s.a.w. 

Siapa pula Luqman Al-Hakim?

Luqman pun merupakan seorang lelaki yang berkulit hitam. Dia seorang yang bijaksana sehingga kata-kata nasihat kepada anaknya dinukilkan dalam Al-Quran. Rujuk Surah Luqman, surah yang ke-31 di dalam Al-Quran dan lihat bagaimana Luqman mengutarakan nasihat. 

Hadis Rasulullah s.a.w, riwayat Ahmad dan al-Baihaqi;

"Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas 'ajam (yang bukan arab), atau 'ajam ke atas arab atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan."

Kemudian, saya baca pula Surah Al-Hujurat, surah ke-49 ayat 11:

"Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan tersebut meyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."

Surah Ar-Rum, surah ke-30, ayat 22:

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan."

Bila saya belajar Sains, saya tahu tentang melanin iaitu pigmen yang menjadikan warna kulit kita gelap, saya bersyukur dengan warna kulit yang Allah bagi. Orang yang berkulit gelap mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat kanser kulit berbanding orang berkulit cerah. Tahu kenapa kebanyakan pelari pecut adalah orang yang berkulit hitam? Sebab orang yang berkulit hitam mempunyai keupayaan yang lebih tinggi dalam menghasilkan tenaga. Dari sudut kosmetik, kulit gelap mempunyai ciri glow semulajadi. Maaf, saya tak dapat nak sertakan rujukan saintifik di sini, mana pi nota kuliah ntah. Hehehe..

Apa yang saya nak cakap ialah kisah 2 orang tokoh, hadis Rasulullah s.a.w & ayat Quran yang saya sertakan itu mengubat hati saya yang terluka dengan kritikan/cemuhan orang mengenai warna kulit saya. Bukan Tuhan yang jahat kerana menciptakan kita yang berlainan bangsa & warna kulit tetapi manusialah yang jahat, yang mencipta diskriminasi berdasarkan perbezaan fizikal. 
 


 


02 Februari, 2016

Tips menurunkan berat badan


Saya pernah mengalami kenaikan berat badan secara mendadak pada satu ketika dahulu. Berat badan saya naik sebanyak 6 kg dalam masa 2 bulan saya di Kem Latihan Khidmat Negara. Hairan? Ya, saya pun hairan juga macam mana berat badan saya boleh naik ketika melakukan pelbagai aktiviti lasak sepanjang berada di kem tersebut. 

Mungkin juga disebabkan oleh pertambahan berat otot. Sado jadinya hari-hari kena tekan tubi... hahaha. Sebenarnya, ada faktor lain. Jurulatih saya sangatlah baik. Asal ada makanan lebih ja, dia panggil saya suruh habiskan. Masa mula-mula masuk kem, saya memang kurus. Jurulatih bising la. Dia kata, "Hang ni tak makan ka? Kuruih sangat. Nanti tak laghat nak angkat senapang kot, pengsan ka masa kawad. Haghu."

Walaubagaimana pun, saya berjaya menurunkan berat badan secara perlahan-lahan dalam masa beberapa bulan. Saya tak mengamalkan diet yang strict. Nasi tak makan langsung, ikat perut....uihhhh....takdak pasai la nak buat lagu tu. Kawan-kawan sekolah yang jumpa dengan saya sekarang pun ramai yang tanya macam mana saya maintain fit. Alhamdulillah, body mass index (BMI) normal. Berikut adalah langkah-langkah yang saya ambil:

1. Mengamalkan pemakanan seimbang. 
Anda boleh rujuk piramid makanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya tak haramkan terus nasi ke atas diri saya tapi saya makan dalam kuantiti yang minima. Hanya 1-2 senduk pada waktu tengah hari.

2. Gaya hidup sihat.
Saya jarang makan junk food atau makanan segera, tak merokok dan tak minum arak. Bersenam? Saya tak suka jogging tapi saya buat kerja rumah yang memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi seperti kukur kelapa secara tradisional...hahaha...serius wei, penat ooo. Sebagai pelajar, saya memang banyak berjalan. Kira senaman la tu. Kalau duduk kat rumah pun sama, kena tangkap kucing saya yang suka main kejar-kejar.

3.  Makan herba & rempah.
Saya suka makan masakan yang mengandungi herba dan rempah seperti dalam gambar di atas. 

4. Minum air putih/mineral secara purata 1.5 - 2 liter setiap hari.

5. Mengamalkan jadual makan yang tetap pada setiap hari.
Ada tiga waktu makan yang paling penting dalam hidup saya iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Saya biasa sarapan selepas solat Subuh, makan tengah hari pada 1 jam sebelum masuk waktu Zohor dan makan malam pada lewat petang. Biasanya antara pukul 6.00 petang hingga 7.30 malam. Saya jarang sangat makan malam selepas pukul 8. 

6. Makan perlahan-lahan.
Bukanlah maksudnya makan nasi sepinggan sampai sejam. Kita makan & kunyah betul-betul makanan tu supaya ianya mudah dihadam. Jangan gelojoh. Ianya tidak menyihatkan dan tidak sopan.

7. Elakkan makan sampai ke tahap terlalu kenyang atau melampaui batas pada pengambilan sesuatu kumpulan makanan seperti terlalu manis, terlalu masin, terlalu berlemak & etc.

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Surah Al-A'raf, ayat 31)

Selamat mencuba! =)

15 Januari, 2016

Rainy

I'm not gonna talk about rainy day, either literally or philosophically. Rainy is a cat, just an animal in the eyes of others. But to me, Rainy is more than that. She's a family member, a friend. We're so close, my siblings called her as my youngest sister. 

Rainy ni kasar. Dia tak manja macam kucing lain. Dia dibesarkan dalam sangkar sejak dari kecil. Masa mak saya adopt dia, Rainy dianggar dah berusia setahun. Masa mula-mula dia datang ke rumah saya, dia sangat takut dengan kucing-kucing saya yang lain. Bila kami lepaskan dia, bagi dia peluang untuk keluar dari sangkar, dia lari tak tentu arah. Punyanya la seronok. Terlompat-lompat, terkinja-kinja. Kita pun tak suka kena kurung kan, sama la juga dengan Rainy. Kucing-kucing saya yang lain asyik berkawal di sekeliling dia. Rumah saya dekat dengan hutan. Ada ular, biawak & seribu satu macam spesis haiwan. Kucing kampung tahu la yang mana boleh main, yang mana tak. 

Mulanya dia sangat liar. Tak ada sesiapa pun yang boleh pegang dia. Mak saya sampai berdarah jari kena gigit. Saya cuba dapatkan kepercayaan dia secara perlahan-lahan. Pertama sekali saya cuba usap dia sekali dua. Lepas agak dia dah selesa, saya cuba garu-garu atas kepala dia. Seterusnya saya cuba peluk dia tapi pada awalnya dia memang tak bagi. Dia jadi macam takut. So, saya peluk kucing yang lain kat depan dia dan bagitahu saya cuma nak peluk, pelukan itu bukan sesuatu yang bahaya. Hampir 2 bulan juga saya cuba ambil hati dia sebelum dia benarkan saya peluk dia.

Adik saya kata Rainy ni kucing biadab. Orang baru pegang sikit, dah cakar. Kerja nak gigit je. Suatu hari, saya rasa tertekan sangat dengan study saya. I felt terrible & I can't stop crying. Perkara yang mengejutkan saya pada ketika itu ialah bila Rainy naik atas meja belajar saya, dia duduk senyap kat depan saya sampai saya berhenti menangis. Tambah lagi masa saya tengah sakit, dia naik atas katil saya waktu saya tengah baring & dia bau-bau gaya seperti nak check sama ada saya ok atau tak sebab masa tu saya tak boleh nak gerak.

Beberapa hari yang lepas saya tak ada kat rumah. Saya ke luar negeri. Bila saya balik, Rainy mengamuk. Dia tak nak saya pegang dia. Mak saya kata sepanjang saya tak ada, Rainy tak nak tidur dalam rumah. Esok paginya, mood dia dah ok. Dia datang bila saya panggil. Cuma saya sedar perangai dia macam pelik sikit. Dia asyik panggil saya. Dia sangat manja, asyik berguling-guling depan saya. Dia nak saya tengok dia & dia akan panggil bila saya beralih pandangan. Adik saya kata perangai dia pelik sebab sekarang masa dia mengawan. Ada seekor kucing jantan jiran saya asyik ikut dia. Jadi, saya pun tak fikir banyak la.

Petang tadi, masa maghrib Rainy tiba-tiba nazak. Tak tahu kenapa. Saya cakap kat mak, baik bawa terus ke klinik haiwan. Mak saya suruh solat dulu tapi keadaan dia teruk jadi saya dengan adik terus ambil kunci kereta & drive ke klinik yang terdekat. Masa sampai kat situ, doktor kata dah tak boleh buat apa tapi adik saya insist, " Kucing ni baru jadi macam ni. Baru sangat, tak sampai sejam." Rainy nazak secara tiba-tiba pada 10 minit yang lepas. Lepas tu, doktor pun check la jugak & inject 3 jenis ubat. Dia cakap, saya cuba selamatkan tapi.....I just can try.  He gives me 1 minute untuk ada dengan Rainy dalam bilik dia. Saya usap kepala Rainy & cakap, " Aku tak tahu apa yang jadi tapi aku dah cuba selamatkan kau. Betul, aku dah cuba."

Doktor nak bagi dia 'tidur' terus sebab ubat tu tak bagi kesan pun kat dia tapi saya tak nak, saya tak sampai hati so saya pun bawa Rainy balik. Bila sampai kat rumah, beberapa minit je, Rainy dah tak ada. Allah ambil balik dalam sekelip mata. Doktor pun tak tahu dia sakit apa. Tak ada patah kat mana-mana, kot la kena langgar. Nak kata kena racun pun, tak ada tanda-tanda. Doktor cuma kata paru-paru dia berair. Innalillahi wainna ilaihi raji'un (Dari Allah kita datang dan hanya kepada Allah kita kembali). By the way, kitorang sempat balik rumah untuk solat Maghrib (penjelasan supaya tak ada yang buruk sangka bila baca artikel ni).

Allah hanya uji seseorang hamba itu sekadar yang termampu untuk ditanggung. The Prophet (pbuh) said: "If Allah wants to do good to somebody, He afflicts him with trials." [Bukhari]

Saya tengok kucing sebagai individu. Sepanjang 12 tahun saya bela kucing, tak ada satu pun yang sama macam yang lain. Setiap seekor ada perangai masing-masing. I feel sad but at the same times, I thank Allah for giving me chance to take care of Rainy. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk sayang dan disayangi. 

For those who are in a difficult time of losing someone in your lives, stay firm. Tak ada yang hidup selamanya di dunia ini. 

Rainy suka duduk atas tanah, main dengan rumput



Rainy suka teman saya tulis tesis

I thanked Allah for giving her in my life

26 Disember, 2015

Solat Jumaat



A     : Saya pernah bekerja selama 8 tahun di Malaysia. Saya hairan dengan satu perkara. Kenapa  hanya lelaki Islam yang pergi solat Jumaat? 

Saya : Dari sudut hukum Islam, solat Jumaat diwajibkan ke atas lelaki Islam sahaja. Wajib tu maksudnya kena buat. It is a MUST. Wanita Islam pula hanya diharuskan untuk pergi solat Jumaat. Maksudnya, untuk wanita, nak solat Jumaat di masjid pun boleh, nak solat Zohor seorang diri di rumah pun boleh. Kebiasaannya di Malaysia, jarang ada wanita yang pergi solat Jumaat sebab kebanyakan masjid akan dibanjiri dengan jemaah lelaki termasuklah di ruangan solat khas untuk wanita.

Dari sudut pemikiran logik pula, jika semua wanita Islam diwajibkan solat Jumaat, boleh awak bayangkan bagaimana keadaan wanita yang ada ramai anak & masih kecil kena keluar rumah untuk solat Jumaat di masjid? Bagaimana pula dengan wanita yang mengandung? Wanita sudah tentu lebih sukar untuk melaksanakan perintah solat Jumaat berbanding lelaki.

Solat Jumaat ialah solat fardhu 2 rakaat yang menggantikan solat Zohor pada setiap hari Jumaat. Solat ini perlu dilakukan secara beramai-ramai iaitu tidak kurang daripada 40 orang jemaah yang cukup syarat wajib seperti dalam gambar di atas. Jemaah diwajibkan mendengar khutbah iaitu ceramah ringkas yang mempunyai syarat-syarat tertentu. Isi khutbah ini biasanya terkandung peringatan atau nasihat untuk para jemaah yang boleh merangkumi banyak hal dalam kehidupan seharian khususnya perkara yang menjadi isu dalam kalangan masyarakat contohnya, rasuah.